IFJ: Kebebasan akhbar di M'sia ada kemajuan, walaupun perlahan
Kebebasan akhbar di negara ini menunjukkan kemajuan sejak perubahan kerajaan persekutuan tahun lalu, kata laporan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ).
Dalam Laporan Kebebasan Media di Asia Tenggara 2019, organisasi itu juga menegaskan pembaharuan mengenai kebebasan media yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berlaku secepat yang disangka.
Katanya, masih banyak undang-undang yang menghalang kebebasan bersuara.
"Terdapat kemajuan yang ketara dari segi kebebasan akhbar di Malaysia sejak perubahan kerajaan pada tahun 2018, sekurang-kurangnya media lebih berani.
"Bagaimanapun, banyak pembaharuan yang dijanjikan tidak tercapai secepat yang diharapkan, kerana banyak undang-undang yang menyekat kebebasan ekspresi.
"Walaupun ada usaha untuk menghapuskan Akta Antiberita Tidak Benar namun pentadbiran PH seolah-olah mahu meneruskannya kerana terdapat berita palsu yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara," kata laporan itu.
Menurut IFJ, wartawan di Malaysia secara khusus menuntut pemansuhan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, yang telah digunakan kerajaan sebelum ini untuk membatalkan lesen akhbar.
Walaupun akta tersebut telah lama tidak digunakan, namun laporan itu menyatakan undang-undang lain seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia masih dikuatkuasakan.
"... (Ini) walaupun pemimpin PH 'membantah keras kedua-dua undang-undang ini semasa rejim Barisan Nasional (BN) sebelumnya," katanya.
PH juga seolah-olah menghantar mesej yang tidak jelas mengenai kebebasan bersuara dengan beberapa pemimpinnya menyeru pemansuhan Akta Hasutan tetapi pada masa yang sama menggesa mengetatkan undang-undang mengenai ucapan kebencian di alam maya.
Mesej yang bercampur aduk ini dakwa laporan itu dapat dilihat menerusi sentimen wartawan di negara ini.
Memetik tinjauan yang dibuat bersama Kesatuan Wartawan Asia Tenggara (Seaju), IFJ berkata 100 pengamal media berbeza pendapat mengenai kebebasan media sejak setahun yang lalu.
Ia mendapati seramai 30 daripada responden mengatakan keadaan semakin buruk, 29 yang lain mengatakan bertambah baik, sementara yang lain mengatakan tiada perubahan yang signifikan.
Laporan itu juga menyebut mengenai 'politik naungan' dalam media tempatan yang menyaksikan pembaca akhbar berkurangan sejak bertahun lalu.
"Ini paling jelas dalam nasib Utusan Malaysia, The Star dan Tamil Nesan, yang dikaitkan dengan Umno, MCA dan MIC - ketiga-tiga parti utama komponen BN."

