Yang di-Pertuan Agong lawat Tun Ghafar
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail melawat bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba yang dalam keadaan tenat di ibunegara hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail melawat bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba yang dalam keadaan tenat di ibunegara hari ini.
Seri Paduka tiba di Pusat Perubatan Gleneagles Intan (GIMC) di Jalan Ampang pukul 3.50 petang bersama beberapa pegawai Istana Negara.
Semasa tiba, Seri Paduka disambut anak sulung Ghafar, Tamrin dan anggota keluarga terdekat.
Ghafar, 81, dimasukkan ke hospital swasta GIMC pada 24 Januari lalu kerana serangan asma.
Menurut laporan Bernama, Ghafar sebelum itu dirawat di Pusat Perubatan Pantai kerana sakit jantung dan komplikasi paru-paru pada Oktober lepas.
Antara orang kenamaan yang melawat Ghafar hari ini ialah bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Onn Ismail, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohamed Shafie Apdal dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin.

