Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS akan hilang hala tuju, kata Khalid
Diterbitkan:  Nov 23, 2019 3:55 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Seorang pemimpin Amanah meramalkan, PAS akan kehilangan hala tuju jika Abdul Hadi Awang tidak lagi menjadi pemimpin parti berkenaan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata ketika ini hala tuju PAS adalah berkaitan dengan apa saja yang diperkatakan Abdul Hadi.

Kata Khalid perjuangan PAS - yang pernah dianggotainya suatu ketika dulu - juga kini menjadi sangat eksklusif, tertuama selepas mereka menyertai Muafakat Nasional dengan Umno.

Keadaan itu, kata Khalid, menjadikan mesej yang disampaikan PAS kepada rakyat bertambah kabur walaupun parti itu mendakwa kedudukan mereka semakin kuat dengan adanya Umno bersama.

"Ia hanya disertai oleh golongan yang walak sahaja.

“Selagi ada Hadi, mereka akan patuh tapi selepas Hadi tak ada (pegang jawatan) parti itu tidak akan mempunyai hala tuju yang jelas.

"Mereka tidak akan punya ketahanan,” katanya kepada media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Terdahulu menteri Wilayah Persekutuan dan ahli parlimen Shah Alam itu merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan.

Sementara itu Khalid memberitahu Amanah menerima permohonan keahlian yang tinggi di Kelantan, sekali gus menggambarkan sokongan terhadap PAS - yang menjadi kerajaan negeri - semakin merosot.

Katanyam, ketika PAS dan Umno mendakwa mereka semakin kuat dengan terbentuknya Muafakat Nasional, sepatutnya kedua-dua parti menerima permohonan keahlian lebih ramai.

"Tetapi dari pandangan ahli di bawah, ramai mempertikaikan dan hala tuju yang hendak dibawa (PAS), dan itu antara sebab mengapa Amanah mendapat ahli baru yang ramai dari Kelantan, malah ia antara yang tertinggi.

"Sepatutnya (mereka) masuk ke PAS atau Umno, tapi ramai juga yang masuk pada Amanah," katanya.

Khalid menambah, beliau tidak terkejut jika pada pilihan raya umum akan datang, Amanah mencatatkan keahlian tertinggi di Kelantan.

Lihat Komen
ADS