Polis soal siasat pelajar sertai protes bantah yuran di Parlimen
Polis hari ini menyoal siasat tiga aktivis pelajar berhubungan bantahan yang diadakan di luar Parlimen pada awal Oktober.
Ketiga-tiga pelajar dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) itu mengetuai sekumpulan 40 yang lain mengadakan bantahan di luar parlimen berhubung isu yuran yang dikatakan terlalu tinggi.
MJIIT adalah fakulti di bawah pengawasan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ia ditubuhkan pada tahun 2010 oleh kerajaan Malaysia dan Jepun, sejajar dengan Dasar Pandang Ke Timur Dr Mahathir Mohamad.
Dua daripada pelajar yang disiasat ialah Pengerusi kumpulan pelajar UTM-MJIIT Tan Cheng Siong dan ahli jawatankuasa Salehuddin Abdul Latiff.
Turut disoal siasat ialah penasihat kumpulan berkenaan yang juga ahli jawatankuasa PSM, Sharan Raj.
Mereka ditemani oleh peguam Y Kohila dari biro undang-undang PSM. Ketiga-tiga mereka disoal siasat di ibu pejabat polis Dang Wangi.
Sharan memberitahu polis Malaysiakini bahawa polis menyoal siasat mereka selama kira-kira 45 minit.
Dalam satu kenyataan, Sharan berkata polis tidak sepatutnya membazir sumber kakitangan untuk menyiasat aktivis mengenai "kejadian sivil", dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada jenayah.
Pada Disember 2018, pelajar dari MJIIT mula mempersoalkan yuran khas sebanyak RM2,855 yang dikenakan ke atas pelajar tahun pertama, dan menuntut yuran itu dihapuskan.
Mereka berkata jumlah yuran mereka adalah RM5,000, berbanding RM945 yang dibayar oleh pelajar UTM yang lain.
Pada bulan Jun, timbalan naib canselor UTM (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Zainuddin Abd Manan berkata, pelajar telah dimaklumkan bahawa kos sebenar mengambil kursus tanpa subsidi di MJIIT adalah RM 79,868 selama empat tahun atau lapan semester.
"Bagaimanapun, universiti bersetuju untuk menampung 49 peratus yuran, dengan itu mengurangkan bayaran yang dikenakan kepada pelajar MJIIT kepada RM40,000 selama empat tahun, atau lapan semester," katanya dipetik Bernama.

