Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Selangor bergolak kerana 'budak suruhan' Hisham?

Buat pertama kali dalam sejarah Umno Selangor gagal mengadakan mesyuarat badan perhubungannya semalam. 

Ia berikutan lebih separuh daripada ketua bahagian Umno negeri itu tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat yang sepatutnya berlangsung di Shah Alam malam tadi.

Menurut sumber kepada Malaysiakini, hanya enam ketua bahagian hadir pada pertemuan itu, manakala selebihnya bertindak memboikot mesyuarat berkenaan.

“Ini kali pertama mesyuarat perhubungan Umno negeri tidak berjaya diadakan kerana protes daripada ketua-ketua bahagian.

“Daripada 22 ketua bahagian selain daripada pengurusan (pengerusi, timbalan pengerusi, penerangan dan bendahari) hanya Tan Sri Noh Omar yang datang sebagai ahli jawatankuasa. Seramai 16 orang lagi tidak hadir,” katanya.

Malaysiakini dimaklumkan ketidakhadiran ketua-ketua Umno bahagian itu disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang baru dilantik Julai lalu, Nadzari Ahmad Dahlan.

'Budak suruhan Hishammuddin'

Sumber berkata pengurusan Umno Selangor juga terlalu dibayangi bekas naib presiden parti itu, Hishamuddin Hussein.

Malah, Nadzari juga didakwa merupakan ‘budak suruhan’ anggota parlimen Sembrong itu.

“Jadi, kami tidak berminat untuk mengadakan mesyuarat perhubungan yang dipengerusikan 'budak suruhan' Hishamuddin.

“Kami juga pernah menasihati 'budak suruhan' Hishamuddin supaya jangan keterlaluan tetapi mereka tidak mengendahkan nasihat daripada ketua-ketua bahagian, maka berlakulah protes dan boikot ini,” katanya.

Jelasnya, rasa tidak puas hati itu semakin bertambah ekoran tindakan Hishammuddin yang membelakangkan pucuk pimpinan parti apabila didakwa mengetuai pertemuan sekumpulan anggota parlimen BN di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali, Isnin lalu.

"Kami tidak mahu pimpinan Selangor ini cenderung kepada mana-mana individu yang bukan daripada struktur parti.

“Kami sedar kami adalah parti pembangkang yang kalah teruk di Selangor. Tetapi kami tidak mahu lagi kesilapan-kesilapan lampau akan memecahbelahkan serta menimbulkan kekeliruan di peringkat akar umbi,” katanya.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman Azmin di Putrajaya pada malam Isnin lalu dihadiri lebih 20 anggota parlimen Umno, termasuk Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun Hishammuddin menafikan beliau merancang pertemuan tersebut.

Sebelum ini, Sekretariat Pakatan Harapan (PH) mendakwa Hishammuddin merancang untuk membentuk kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah, namun turut dinafikan bekas naib presiden Umno itu.

Temui presiden, bincang kedudukan Nadzari

Sementara itu sumber berkata ketua-ketua bahagian Umno Selangor akan mengadakan pertemuan dengan presiden parti semasa Perhimpunan Agung Umno yang dijadual awal Disember depan bagi membincangkan kedudukan Nadzari.

“Kita mahu melihat mereka yang menjadi pengerusi ini selain berwibawa, mereka ini mestilah dilihat berkecuali daripada mana-mana konflik yang boleh membawa kekeliruan di peringkat akar umbi,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Hishammuddin dan Nadzari untuk mendapatkan reaksi mereka.

Lihat Komen
ADS