Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Calon prodemokrasi menang besar pilihan raya k'jaan tempatan Hong Kong

GLOBAL | Calon-calon prodemokrasi menang dengan majoriti besar Dalam pilihan raya tempatan Hong Kong semalam selepas penduduk keluar mengundi pada Ahad, susulan protes antikerajaan yang sudah berlarutan selama enam bulan di kota itu.

Calon-calon demokrat di kota 7.3 juta penduduk itu buat kali pertama mendapat lebih separuh daripada 452 kerusi majlis daerah, mengalahkan calon pro-kerajaan yang memiliki sumber yang besar.

Apabila keputusan mula diketahui selepas tengah malam semalam, termasuk keputusan yang menyaksikan kejayaan tak dijangka calon demokrat menewaskan calon pro-Beijing, sejumlah pusat mengundi bergema dengan laungan “Bebaskan Hong Kong. Revolusi sekarang!” - ungkapan yang menjadi slogan buat peserta demonstrasi sejak setengah tahun lalu.

Sesetengah calon yang menang berkata keputusan itu ibarat “undi sokongan” buat pendemonstrasi dan boleh menguatkan desakan terhadap ketua eksekutif Hong Kong yang pro-Beijing, Carrie Lam, dalam krisis politik terburuk kota itu sejak beberapa dekad lalu.

“Inilah kuasa demokrasi. Ini tsunami demokrasi,” kata Tommy Cheung, bekas pemimpin demostrasi pelajar yang menang kerusi daerah Yuen Long, dekat dengan sempadan China.

Hari pengundian berakhir tanpa insiden besar, yang menyaksikan pengundi beratur dalam barisan yang panjang tetapi teratur di pusat-pusat mengundi.

Berdasarkan anggaran media tempatan, setakat jam enam pagi (2200 GMT), calon prodemokrasi telah mencapai majoriti jelas di lebih 300 daripada 452 kerusi, berbanding hanya 41 kerusi yang berjaya diraih kem pro-Beijing. Dalam pilihan raya sebelum ini, empat tahun lalu, calon demokrat hanya mampu meraih sekitar 100 kerusi.

Hampir tiga juta keluar mengundi, satu rekod dengan lebih 71 peratus kadar keluar mengundi dalam apa yang dilihat sebagai dicetuskan oleh pergolakan yang berlaku. Kadar itu hampir dua kali ganda berbanding pilihan raya lalu.

Majlis daerah di Hong Kong mengawal perbelanjaan terhadap beberapa perkara dan membuat keputusan dalam isu-isu berkaitan kehidupan penduduk seperti pengangkutan. Ia juga bertindak sebagai platform akar umbi yang penting untuk menyebarkan pengaruh politik di kota itu.

Konfrontasi formal

Pendemostrasi berang dengan apa yang disifatkan mereka sebagai campur tangan China yang melanggar kebebasan yang dijanjikan kepada Hong Kong kota yang dahulunya adalah jajahan British kembali di bawah pemerintahan China pada 1997.

Mereka juga bertindak balas terhadap apa yang dilihat sebagai keganasan polis.

China menafikan campur tangan tersebut dan berkata ia komited terhadap formula “satu negara, dua sistem” untuk autonomi Hong Kong. Polis pula berkata mereka telah menahan diri ketika berdepan serangan yang berisiko membawa maut.

Jimmy Sham

Ketua Barisan Hak Asasi Manusia Sivil Jimmy Sham, yang menganjurkan beberapa himpunan antikerajaan, menang di kawasan ditandinginya, begitu juga bekas ketua pelajar yang terlibat dalam gerakan payung pada 2014, Lester Shum, dan Kelvin Lam, yang menggantikan aktivis Joshua Wong yang dilarang bertanding.

Sejumlah calon handalan pro-Beijing seperti Junius Ho, yang pernah mengeluarkan kenyataaan keras menyebabkan dirinya menjadi tokoh dibenci di kalangan pendemonstrasi, kalah di tangan calon prodemokrasi. Dia menyifatkan kekalahan itu sebagai “pilihan raya luar biasa, dengan keputusan luar biasa” di Facebooknya.

Protes bermula susulan penentangan terhadap rang undang-undang ekstradisi - kini sudah ditarik balik - yang akan membenarkan penduduk Hong Kong dibicarakan di China, tetapi pantas menjadi protes untuk menuntut demokrasi penuh.

Iamenjadi cabaran populis terbesar kepada Presiden China Xi Jinping sejak mula memegang kuasa pada 2012.

-Rueters

Lihat Komen
ADS