Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang tahanan yang ditemui meninggal dunia di lokap polis Seberang Jaya di Pulau Pinang minggu lalu telah direkod kamera CCTV menggantung dirinya, kata pihak polis.

Ketika dihubungi hari ini, Ketua Polis Daerah Seberang Jaya Noorzainy Mohd Nor berkata pasukan penyiasat telah melihat rakaman CCTV lokap itu susulan kejadian pada Jumaat lalu bagi mencari punca kematian lelaki berusia 29 tahun itu.

Bagaimanapun, pegawai kanan itu berkata polis berjanji akan telus dalam siasatan terhadap kes tersebut dan tidak akan melindungi sesiapa saja, termasuklah anggota pasukan tersebut.

"(CCTV) ada, jelas menunjukkan dia gantung diri dia sendiri.

"Jadi kita ada rakam percakapan rakan tahanan di dalam sel (lokap), anggota bertugas, emak bapa dia, abang dia, mereka dalam lokap berdekatan dengan dia kita ambil kenyataan," kata Noorzainy kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas kes kematian Mohd Fadzrin Zaidi, seorang suspek kes dadah yang ditemui mati 'tergantung' di dalam selnya di lokap polis daerah Seberang Prai Utara awal pagi Jumaat.

Abang mangsa Mohd Fadzli dilaporkan memberitahu media pada hari Sabtu bahawa keluarga mereka tidak berpuas hati dengan kejadian itu dan mahu kematian Fadzrin disiasat.

Menurut siasatan awal polis, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 pagi Jumaat ketika tahanan lokap lain yang bersama Fadzrin sedang tidur. Noorzainy mendakwa tiada seorang pun tahanan lain yang menyaksikan kejadian itu.

Beliau berkata pihak polis juga telah membuka satu siasatan dalaman untuk membuktikan jika terdapat sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota yang bertugas pada waktu kejadian.

"Sekarang ini kita ada dua kertas siasatan. Satu di bawah laporan kematian mengejut dan satu lagi kita siasat jika terdapat dari segi prosedur operasi standard (SOP) jika ada kecuaian atau apa-apa. Ini (siasatan) dalaman kita perlu lihat terlebih dahulu ada kesalahan atau tidak," katanya.

"Kita tidak akan melindungi apa-apa. Kalau ada kecuaian anggota saya akan ambil tindakan.

"Saya harap orang ramai jangan buat spekulasi macam-macam. Biarlah polis menjalankan siasatan," katanya.

Polis benarkan keluarga tonton CCTV

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang T Narenasagaran memberitahu wartawan pihak polis akan membenarkan keluarga arwah Fadzrin untuk melihat rakaman CCTV itu sekiranya mereka mahu berbuat demikian.

Katanya, rakaman itu jelas menunjukkan lelaki berkenaan menggunakan baju seragam lokap untuk menggantung dirinya sebelum mayatnya ditemukan oleh seorang rakan satu lokap yang bangun tidur pada jam 5 pagi.

"Sebab sekarang ini sudah jadi siasatan jadi perkara ini mungkin akan pergi ke peringkat inkuiri dan sebagainya.

"Jadi rakaman CCTV ini akan menjadi suatu bahan bukti.

"Tapi kalau keluarga nak datang tengok (CCTV) saya fikir hal ini boleh diatur. Kalau hendak memuaskan hati keluarga, mereka boleh tengok. Kita tidak apa yang hendak diselindung," kata beliau.

Terdahulu, Zaidi Mohd Din, bapa kepada arwah Fadzrin ketika dihubungi Malaysiakini menegaskan pihaknya mahukan keadilan di atas kematian mangsa.

Zaidi telah membuat laporan polis pada Sabtu lalu menyatakan pihak keluarga tidak berpuas hati terhadap kejadian itu kerana mangsa sedang berada di bawah jagaan polis ketika meninggal dunia.

Bapa arwah Fadzrin juga mendakwa anaknya itu tidak menunjukkan sebarang tanda kemurungan mahu membunuh dirinya ketika mereka bertemu di mahkamah di Butterworth pada Khamis lalu.

"Saya nak lawan kelalaian mereka sebab (anak saya) mati dalam lokap.

"Pasal apa mati dalam lokap, dalam jagaan mereka (polis) kan?" kata Zaidi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS