Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Setelah 2 tahun, penduduk Kg Mutiara dapat kunci rumah sementara

Selepas dua tahun bergelut dengan tindakan pengusiran, sejumlah 75 penduduk Kampung Mutiara di Batu Ferringhi, Pulau Pinang, menerima kunci untuk rumah sementara mereka hari ini.

Rumah di Selasih Court, disediakan UDA Land North Sdn Bhd, sebuah subsidiari UDA Hodling Berhad.

Acara penyerahan kunci hari ini turut disaksikan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, yang diiringi timbalan pengarah (pembangunan strategik) Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Aizi Razman Ismail dan CEO UDA Mohd Salem Kailany.

Menurut Mohd Salem, Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera JPM telah mengundang UDA untuk mencadangkan pelan pembangunan untuk Kampung Mutiara.

"UDA mengambil peluang itu untuk cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk Lot 39 dan 40 Kampung Mutiara," katanya.

Zakiyuddin berkata penduduk menerima notis pengusiran pada 2017 apabila pihak swasta tanah itu mahu membangunkan kawasan tersebut.

"Selepas campur tangan kerajaan negeri, UDA terpanggil untuk tampil ke depan dan menyelesaikan masalah perumahan mereka dengan membina rumah sementara di Selasih Court.

"UDA akan membangukan 400 unit kos rendah untuk penduduk dari Kampung Mutiara, Kampung Che Ahmad, Kampung Din Bamboo dan Kampung Kubur. Ia dibina berdasarkan garis panduan kerajaan negeri dan mereka akan menerimanya secara percuma," katanya.

Pada 31 Julai 2017, Malaysiakini melaporkan penduduk Kampung Mutiara diberi masa tiga bulan untuk mengosongkan rumah mereka.

Penyelesaian dicapai antara pemilik tanah, timbalan ketua menteri I ketika itu Rashid Hasnon dan bekas ketua Umno Bukit Bendera Ahmad Ismail, yang mewakili penduduk.

Susulan penyelesaian itu dan bantahan kira-kira 500 penduduk, pemilik tanah Loke Leng Seak membatalkan writ pengusiran.

Bekas anggota parlimen Bukit Bendera yang kini adun Tanjung Bungah Zairil Khir Johari, berkata kerajaan negeri memainkan "peranan penting" dalam menyelesaikan masalah itu.

Ketika itu kerajaan negeri setuju untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mendapatkan tanah itu daripada pemilik, dengan menggunakan dana agensi kerajaan persekutuan seperti UDA Holdings.

UDA juga akan membangunkan 166 unit apartmen mampu milik dan 502 unit kondominium di kawasan itu.

"Penduduk akan menerima unit berkeluasan 800 kaki persegi, yang selesa dan dirancang dengan baik," kata Zakiyuddin.

Projek itu dijangka siap dalam masa empat tahun.

Lihat Komen
ADS