Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Komisen beli hotel RM10j tapi RM9j 'dipulangkan' untuk dana politik - Saksi

Mahkamah diberitahu hari ini bahawa syarikat perunding yang sepatutnya menerima RM10 juta komisen hasil pembelian Hotel Merdeka Palace di Kuching oleh Felda diminta menyerah balik RM9 juta bagi tujuan 'political fund' di Sarawak.

Pengarah JV Evolution Sdn Bhd, Azizi Abd Wahab memberitahu bahawa beliau bersama rakan kongsi perniagaan Mazeed Abd Wahab bersetuju menerima hanya RM1 juta sebagai komisen dan bakinya RM9 juta diserah balik kerana penglibatan syarikat mereka kurang dalam proses penjualan Hotel Merdeka milik Gegasan Abadi Sdn Bhd.

"Selepas syarikat JV Evolution dilantik sebagai ejen penjualan, sekitar bulan April 2014, saya dan Mazeed berjumpa dengan Ikhwan di rumah beliau Sunway Opal Kondominium, Petaling Jaya.

"Dalam pertemuan itu, Ikhwan memberitahu tentang komisen sebanyak RM10 juta di mana JV Evolution (hanya) akan terima RM1 juta daripada jumlah RM10 juta atas alasan kurang pengelibatan (dalam urusan penjualan Hotel Merdeka Palace).

"Saya dan Mazeed bersetuju," kata Azizi ketika membaca pernyataan keterangan dalam perbicaraan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad atas tuduhan salahguna kuasa dan menerima rasuah RM3 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Azizi yang juga saksi pendakwaan ke-17, Ikhwan juga meminta mereka supaya menyerahkan kembali RM9 juta daripada baki komisen untuk tujuan "political funds" (dana politik) di Sarawak.

"Daripada RM9 juta itu, Ikhwan akan mendapat RM6.75 juta kerana selepas mengambil kira penolakan cukai perniagaan JV Evolution," jelasnya lagi.

Ikhwan Zaidel merupakan bekas pengarah Gegasan Abadi yang juga merupakan individu yang bertanggungjawab membayar RM3.09 juta kepada Isa Samad melalui Zahid Md Arip (gambar, bawah), bekas pembantu khas Isa.

Ikhwan sebelum ini sebagai saksi pendakwaan ke-16 memberitahu mahkamah bahawa beliau membayar RM3 juta kepada Isa Samad melalui Zahid dalam sembilan ansuran bermula Julai 2014 hingga Disember 2015.

Ikhwan turut mengesahkan bahawa selain bayaran pertama sebanyak RM100,000, kesemua bayaran lain dibuat hasil wang diterima daripada Azizi dan Mazeed.

Terdahulu, Azizi, 53, juga memberitahu mahkamah bahawa beliau merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Zahid kepada Ikhwan.

Katanya beliau mengenali Ikhwan sekitar Julai 2013, ketika mengerjakan Umrah, di mana Ikhwan menceritakan bahawa dia adalah pemilik Hotel Merdeka Palace dan sedang mencari pembeli untuk hotel itu.

"Saya cadangkan kepada beliau kenapa tidak cuba syarikat GLC kerajaan seperti Tabung Haji dan Felda. Beliau tanya kalau saya kenal sesiapa di Tabung Haji dan Felda.

"Saya cakap saya ada seseorang di Felda, Zahid Md Arip cuma pegawai khas kepada Tan Sri Isa Samad," kata Azizi.

Tambahnya, pada September 2013, beliau membawa Ikhwan bertemu Zahid di Menara Felda.

"Ketika pertemuan, Ikhwan memaklumkan kepada Zahid niat beliau untuk membuat tawaran penjualan Hotel Merdeka Palace kepada pihak Felda," kata Azizi sambil menambah Ikhwan turut menyerahkan kertas cadangan penjualan kepada Zahid.

Susulan pertemuan itu, Ikhwan mendapatkan persetujuan lembaga pengarah Gegasan Abadi untuk melantik syarikat Azizi (JV Evolution) yang ditubuhkan pada Oktober 2013.

JV Evolution dilantik sebagai perunding dengan janji sekiranya dapat jual hotel itu melebihi RM150 juta, bakinya akan dimasukkan ke JV Evolution sebagai komisyen.

Untuk rekod, Felda Investment Corporation (FIC) membeli Hotel Merdeka Palace di Kuching dengan harga RM160 juta.

Pada 18 Okt lalu, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) FIC Mohd Zaid Abdul Jalil memberitahu mahkamah Isa Samad memintanya untuk meletakkan harga RM160 juta bagi pembelian hotel itu selepas mengambil kira 'goodwill' walaupun nilai pasaran hotel ditetapkan kepada RM153 juta sahaja.  

Lihat Komen
ADS