Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri Pertanian patut ditukar, bukan KSU - Ismail Sabri

Sepatutnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, yang perlu digantikan, bukan ketua setiausaha kementerian itu, kata Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob.

Kata Ismail Sabri, pegawai kanan terbabit dilihatmenjadi mangsa kepada kelemahan Salahuddin semasa mengendalikan isu tender kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Menurut ahli parlimen Bera itu beliau yakin tindakan Mohd Sallehhuddin Hassan itu dibuat berdasarkan manifesto PH yang menerima amalan tender terbuka bagi semua projek kerajaan.

"Alasan yang diberikan oleh menteri yang mengatakan beliau tidak tahu tentang tender terbuka dibuat KSU itu, saya rasa sesuatu alasan yang tidak boleh diterima.

"Saya pernah jadi menteri pertanian, Noh Omar (ahli parlimen Tanjung Karang) menteri pertanian, Mahdzir Khalid menteri pendidikan... tak mungking - kita sebagi menteri - tidak maklum (mengenai hal itu), terutama tender atau projek yang melibatkan lebih RM1 bilion, kerana ia dibentangkan dalam kabinet. Tak munasabah...." katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Baru-baru ini muncul isu pemberian kontrak baja yang diberikan secara rundingan terus kepada Nafas. Kontrak bernilai RM1.4 bilion itu pada asalnya dibuat secara tender terbuka namun Salahuddin mengaku beliau menulis surat kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, pada 7 Nov agar ia diberikan kepada Nafas.

Ia mula dibangkitkan di parlimen semasa sesi perbahasan oleh Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang mendakwa tiga kontrak bernilai RM1 bilion dibatalkan selepas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganugerahkannya secara rundingan terus.

Siapa tak buat kerja

Seorang pemimpin Amanah kemudian mendakwa ada pegawai kanan di kementerian itu bertindak mensabotaj kerajaan dengan memberikan tender tersebut tanpa pengetahuan menteri.

Hari ini Sinar Harian melaporkan Mohd Sallehhuddin Hassan berlapang dada menerima keputusan perpindahannya ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berpuas hati dengan perkhidmatannya sepanjang lima tahun di kementerian berkenaan.

"Apa yang terjadi telah ditentukan Allah SWT. Saya tidak pernah kesal apatah lagi merasa penat dalam menyumbang khidmat bakti dan memberikan keseluruhan masa dan tenaga saya demi melaksanakan tanggung jawab.

"Apa yang terjadi adalah di atas kehendak-Nya dan ada hikmah di sebaliknya. Saya reda dan menerima keputusan ini dan mendoakan semoga agar sinar pencerahan," katanya.

Salahuddin Ayub

Mohd Sallehhuddin juga memaklumkan perkhidmatannya di kementerian terbabit tamat Jumaat lalu.

Ismail Sabri berkata proses pemberian tender dibuat melalui pengiklanan di media dan memakan masa selama sebulan.

Justeru, katanya, tidak mungkin seseorang menteri tidak tahu proses itu berlangsung dan waktu tender tersebut ditutup.

"Kecuali ada pegawai yang tak buat kerja, atau menteri sendiri yang tak buat kerja," katanya.

Apabila berlaku kesilapan, kata Ismail Sabri, seseorang akan dicari untuk dijadikan kambing hitam.

"Kalau menteri tak tahu apa yang berlaku dalam kementeriannya, saya rasa menteri itu patut ditukar," katanya.

Lihat Komen
ADS