Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sawit M'sia ada masa depan cerah - Duta Belanda

Belanda yakin mengenai kepentingan minyak sawit dan melihat masa depan yang cerah bagi industri itu di Malaysia.

Duta Besar Belanda ke Malaysia Aart Jacobi berkata beliau tidak bimbang mengenai perbincangan berhubung langkah-langkah terhadap minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).

“Kita semua tahu bahawa kelapa sawit bagi setiap meter persegi atau setiap ekar memberikan hasil 8 kali lebih tinggi daripada minyak lain yang kita tahu.

“Oleh itu, ia amat penting untuk penduduk dunia yang akan meningkat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Terdapat rundingan dan perbincangan mengenai langkah-langkah EU ke atas minyak sawit tetapi itu hanya jangka pendek.

“Bagi jangka masa panjang, saya berpendapat wujud masa depan yang baik bagi minyak sawit,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pemeteraian surat hasrat antara Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Belanda Christoph Prommersberger bagi pihak Belanda di parlimen, hari ini.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim, yang turut menyaksikan majlis pemeteraian itu, berkata pelaksanaan program Inisiatif Kebangsaan bagi Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mampan dan Iklim-Pintar (NI-SCOPS) bertujuan meningkatkan produktiviti, kemampanan dan kehidupan pekebun kecil kelapa sawit di tujuh lokasi di negara ini.

Beliau berkata program itu akan turut membangunkan sistem pemantauan yang menyokong minyak sawit bebas daripada penebangan hutan, meningkatkan kapasiti penyesuaian pekebun kecil berdasarkan perubahan iklim di tujuh lokasi dan menyumbang kepada semakan semula standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk pekebun kecil.

Jawatankuasa Kecil mengenai Kelapa Sawit (SCOP) merupakan platform kerajaan kepada kerajaan untuk membincangkan kerjasama NI-SCOPS.

Kok berkata Solidaridad Network dan Inisiatif Perdagangan Mampan merupakan rakan kongsi pelaksana bagi pihak Belanda, dan program pembiayaan akan dilaksanakan oleh rakan-rakan kongsi pelaksana itu.

MPOB adalah rakan kongsi bagi pihak kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Industri Utama, dan rakan-rakan pelaksana ialah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia.

Melalui program NI-SCOPS, Malaysia akan menerima pembiayaan sebanyak RM25 juta daripada kerajaan Belanda untuk tempoh tiga tahun akan datang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS