Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi tak tahu wang RM9 juta diberikan pada Isa Samad

Seorang saksi memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia sedia melepaskan komisen RM9 juta hasil jualan Hotel Merdeka Palace di Kuching kepada Felda, untuk 'mewujudkan kepercayaan' bekas pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel.

Pengarah JV Evolution Sdn Bhd, Azizi Abdul Wahab berkata beliau setuju menyerah balik RM9 juta daripada jumlah komisen RM10 juta yang diperolehi selepas diminta Ikhwan bagi tujuan dana politik di Sarawak.

Gegasan Abadi merupakan syarikat yang memiliki Hotel Merdeka Palace yang kemudian menjual hotel berkenaan kepada Felda melalui syarikat JV Evolution selaku ejen jualan.

"Kami ingin wujudkan kepercayaan beliau (Ikhwan) kepada kami. Kami anggap persetujuan kami (serah balik RM9 juta), adalah 'pelaburan' kepada kami untuk kami boleh diberi peluang untuk bertapak di Sarawak."

"Kepercayaan bermaksud laksanakan apa yang beliau minta dan kami mahu beliau percaya bahawa kami memang boleh dipercayai," kata Azizi ketika pemeriksaan semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, Azizi mengesahkan tidak tahu bahawa wang yang diberikan kepada Ikhwan adalah untuk Isa Samad.

"Sepanjang masa saya hanya berurusan dengan Ikhwan. Saya tidak tahu wang yang diberikan kepada Ikhwan adalah untuk Isa Samad," katanya.

"Saya tidak pernah berjumpa atau berurusan dengan Isa Samad. Saya hanya berjumpa dengan Zahid Md Arip (bekas pegawai khas Isa Samad) semasa perkenalkan Ikhwan kepada Zahid dan juga lawatan saya ke Hotel Merdeka Palace," tambahnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nithtia Sivasamy bertanya Azizi mengapa dia tidak setuju dengan soalan peguam Salehuddin Saidin yang mencadangkan bahawa Ikhwan 'memaksa' untuk menyerahkan balik wang RM9 juta.

Salehuddin mewakili bekas Pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad yang menghadapi tuduhan salahguna kuasa dan rasuah melibatkan RM3 juta, mencadangkan bahawa Ikhwan 'memaksa' Azizi dan rakan kongsinya untuk menyerahkan RM9 juta, sedangkan wang itu merupakan milik Azizi.

Bagaimanapun, Azizi tidak bersetuju dengan cadangan Salehuddin.

Azizi yang merupakan saksi pendakwaan ke-17 semalam turut memberitahu mahkamah bahawa beliau bersama rakan kongsi perniagaan Mazeed Abd Wahab bersetuju menerima hanya RM1 juta sebagai komisen dan bakinya RM9 juta diserah balik kerana penglibatan syarikat mereka kurang dalam proses penjualan Hotel Merdeka milik Gegasan Abadi sebelum dijual kepada Felda pada tahun 2014.

"Selepas syarikat JV Evolution dilantik sebagai ejen jualan, sekitar bulan April 2014, saya dan Mazeed berjumpa dengan Ikhwan di rumah beliau di Kondominium, Sunway Opal, Petaling Jaya.

"Dalam pertemuan itu, Ikhwan memberitahu tentang komisen sebanyak RM10 juta di mana JV Evolution (hanya) akan terima RM1 juta daripada jumlah RM10 juta atas alasan kurang penglibatan (dalam urusan penjualan Hotel Merdeka Palace).

"Saya dan Mazeed bersetuju," kata Azizi ketika membaca pernyataan keterangan semalam sambil menambah daripada RM9 juta diminta oleh Ikhwan hanya mendapat RM6.75 juta kerana selepas mengambil kira penolakan cukai perniagaan JV Evolution.

Dalam pada itu, Azizi,53, juga tidak setuju dengan soalan Salehuddin bahawa peranan JV Evolution sangat nominal dalam proses penjualan Hotel Merdeka Palace.

"Saya percaya, kami penting kerana kami membuka jalan. Tanpa berlakunya 'business arrangement' kami, penjualan ini tidak mungkin (berlaku). Pada kami peranan kami penting," katanya.

Sementara itu, Azizi turut tidak setuju bahawa syarikat JV Evolution hanya eneruskan urusan sebagai ejen dalam proses penjualan Hotel Merdeka Palace.

"Ikhwan hanya minta saya untuk majukan syarikat saya. Tapi, saya yang cadangkan untuk tubuhkan syarikat baru berhubung perniagaan hartanah.

"Saya tak nak syarikat perniagaan lain saya tidak bercanggah dengan perniagaan baru (ejen hartanah)," jelas Azizi sambil mengakui pada ketika JV Evolution ditubuhkan syarikat itu hanya fokus kepada proses penjualan Hotel Merdeka Palace sahaja.

Bagi satu soalan oleh Salehuddin yang mendakwa bahawa Azizi berkomplot Ikhwan dan individu lain (Zahid dan Zaid Abdul Jalil, bekas Ceo FIC) cuba mengaburkan pihak penguatkuasa dalam urusan penjualan hotel termasuk Felda dan Gegasan Abadi, Azizi membalas: "Saya tidak setuju"

"Bukan untuk tujuan menipu, transaksi semua diauditkan. Transaksi direkodkan. Jadi, tidak ada komplot," ujarnya lagi.

Untuk rekod, JV Evolution dilantik sebagai syarikat perunding dengan janji sekiranya dapat jual hotel itu melebihi RM150 juta, bakinya akan dimasukkan ke JV Evolution sebagai komisen.

Felda Investment Corporation (FIC) membeli Hotel Merdeka Palace di Kuching dengan harga RM160 juta.

Pada 18 Okt lalu, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) FIC Mohd Zaid Abdul Jalil memberitahu mahkamah Isa Samad memintanya untuk meletakkan harga RM160 juta bagi pembelian hotel itu selepas mengambil kira 'goodwill' walaupun nilai pasaran hotel ditetapkan kepada RM153 juta sahaja.

Perbicaraan diadakan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang disambung esok.

Lihat Komen
ADS