Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bom meletup di landasan kereta api di Narathiwat

GLOBAL | Sebutir bom meletup di landasan kereta api di Daerah Sungai Padi, Narathiwat namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.50 pagi waktu tempatan (6.50 pagi waktu Malaysia), letupan itu telah menyebabkan kerosakan kira-kira satu meter pada landasan kereta api antara stesen Sungai Padi dan To Deng.

Letupan itu telah menyebabkan perkhidmatan kereta api ke selatan Thailand terjejas.

Ketua Polis Daerah Sungai Padi, Kol Pol Apakorn Virupak-arak berkata bom buatan sendiri seberat 25 kilogram dipercayai dipasang pada tong gas dan diaktifkan dengan menggunakan wayar.

“Letupan itu turut menyebabkan 14 perkhidmatan keretapi tergendala,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati seramai dua atau tiga individu terlibat dalam pemasangan bom tersebut.

Berikutan letupan itu, kereta api dari Bangkok ke Sungai Kolok, Narathiwat terpaksa berhenti di stesen Tanyong Mat di Daerah Rangae dan perkhidmatan bas disediakan untuk menghantar para penumpang ke destinasi seterusnya.

Menurut State Railway Thailand, kerja-kerja pemulihan sedang giat dijalankan dan perkhidmatan kereta api dijangka pulih pada tengah hari esok.

Sementara itu, Ketua Polis Thailand Pol Jen Chakthip Chaijinda telah mengarahkan polis di selatan Thailand mempertingkatkan kawalan keselamatan di lokasi-lokasi seperti balai polis, bangunan kerajaan dan juga destinasi pelancongan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS