Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC gesa audit dana awam disalur ke firma kereta terbang
Diterbitkan:  Nov 28, 2019 1:22 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa agar pihak berkuasa menjalankan audit terhadap pelaburan dana awam sebanyak RM20 juta yang dilaburkan ke syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (Aerodyne), sebuah firma swasta yang dikaitkan dengan projek kereta terbang.

Itu adalah satu daripada enam syor yang dikemukakan PAC dalam laporan mereka berhubung projek kereta terbang dan didedahkan hari ini.

Menurut PAC, dana RM20 juta itu disalurkan kepada Aerodyne melalui syarikat dikenali sebagai VentureTech Sdn Bhd (VentureTech), sebuah anak syarikat Malaysian Industry-Government Group for High Technology (Might) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Walaupun menteri terbabit berkata projek kereta terbang adalah sebuah inisiatif swasta dan tidak menggunakan dana kerajaan, PAC mendapati Might - melalui VentureTech - meluluskan pelaburan sebanyak RM20 juta kepada Aerodyne.

"Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengesahkan wang tersebut disalurkan dari VentureTech kepada Aerodyne pada 1 Nov 2019,” kata laporan berkenaan.

Menteri yang dimaksudkan dalam laporan tersebut ialah Mohd Redzuan Md Yusof yang mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan.

Sebelum ini Mohd Redzuan memberitahu parlimen, tiada wang rakyat dilibatkan dalam projek kereta terbang yang diuar-uarkannya.

Menurut laporan PAC, Ahli Lembaga Pengarah VentureTech meluluskan pelaburan RM20 juta itu bagi membangunkan pusat pemprosesan data di Cyberjaya, pusat penyelidikan dan pembangunan, serta "perbelanjaan lain" termasuk membeli beberapa dron.

Saranan lain yang diberikan PAC termasuklah agar perbelanjaan VentureTech dipantau dengan lebih teliti bagi memastikan pelaburannya - yang berjumlah RM20 juta itu - digunakan hanya untuk tujuan yang diluluskan.

PAC juga mencadangkan agar pihak kementerian terbabit membuat kajian dan perancangan teliti sebelum menghebahkan sesuatu projek supaya ia tidak memberi persepsi negatif.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS