Malaysiakini
BERITA

Bekas setiausaha lembaga Felda sahkan pembelian hotel tak dapat mandat

B Nantha Kumar

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Nov 2019, 7:38 pagi

Bekas setiausaha Lembaga Felda, Erwan Aman mengesahkan di mahkamah bahawa pembelian Hotel Merdeka Palace di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) tidak mendapat mandat ahli lembaga pengarah Felda untuk kelulusan.

Menurutnya, pembentangan laporan kemajuan FIC bukanlah merupakan permohonan bagi mendapatkan kelulusan pelaburan pembelian hotel daripada ahli lembaga Felda.

"Ini hanya laporan kemajuan mengenai pelaburan yang telah dibuat oleh FIC sahaja. Tidak ada sebarang permohonan untuk ratifikasi kelulusan pelaburan yang dibuat oleh lembaga FIC semasa mesyuarat lembaga Felda berlangsung," katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Erwan, 42 bekas setiausaha lembaga Felda dari Oktober 2012 hingga Januari 2016 merupakan saksi pendakwaan ke-19 dalam perbicaraan tuduhan salahguna kuasa dan rasuah melibatkan RM3 juta terhadap bekas Pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad.

Dalam pernyataan bertulis, Erwan yang kini memegang jawatan Ketua Bahagian Modal Insan, Bahagian Latihan, Jabatan Sumber Manusia Felda berkata dalam mesyuarat 1 Disember 2014, kertas laporan kemajuan FIC yang dibentangkan oleh bekas CEO-nya, Mohd Zaid Abdul Jalil adalah melaporkan kemajuan aktiviti-aktiviti pelaburan FIC.

"Sepatutnya, sebarang pelaburan melebihi RM100 juta oleh FIC hendaklah dibentangkan dengan mengemukakan kertas cadangan permohonan kelulusan pelaburan untuk kelulusan lembaga Felda selaras dengan keputusan lembaga Felda dalam minit mesyuarat lembaga Felda bertarikh 25 Julai 2013," jelasnya.

Kenyataan Erwan sekali gus menjawab dakwaan peguam Salehuddin Saidin sebelum ini ketika pemeriksaan balas dengan Mohd Zaid yang mendakwa bahawa FIC tidak mempunyai satu mekanisma tertentu untuk membawa sebarang permohonan untuk mendapatkan kelulusan daripada lembaga Felda bagi pelaburan melebihi RM100 juta.

Mohd Zaid selaku saksi ke- 15 pernah memberitahu mahkamah bahawa pembelian Hotel Merdeka Palace daripada Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd dengan harga RM160 juta pada tahun 2014 tidak mendapat mandat Felda yang menetapkan sebarang pelaburan RM100 juta ke atas perlu dibawa ke mesyuarat ahli lembaga pengarah Felda untuk kelulusan.

Sementara itu, Erwan juga mengatakan Kertas Lembaga "Bayaran Pendahuluan Berjumlah RM100 juta kepada FIC bagi membiayai projek pembelian Hotel Merdeka Palace, di Kuching, Sarawak serta cadangan kaedah bayaran kembali pendahuluan ini" adalah bukan tujuan untuk mendapatkan kelulusan.

"Kertas lembaga ratifikasi bertarikh 23 Julai, yang disediakan oleh Jabatan Kewangan Felda untuk tujuan pembayaran pendahuluan yang dibuat oleh Felda kepada FIC.

"Ia bukan merupakan suatu kelulusan daripada lembaga Felda untuk pembelian hotel (MPHS). Ratifikasi untuk kelulusan pelaburan tidak pernah dibentang dalam mesyuarat lembaga Felda," tambahnya.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan salahguna kuasa dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan yang masuk hari ke-13 hari ini diadakan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.