Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan tanya Mohamaddin kenapa cakap jurugambar 'rubbish, idiot'

Sidang akhbar Parti Warisan di parlimen terganggu dengan soalan beberapa wartawan terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.

Ia susulan kejadian lebih awal hari ini apabila menteri berkenaan didakwa memarahi beberapa jurugambar.

Pada masa itu Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mengadakan sidang akhbar di parlimen berhubung keputusan mahkamah dalam kes Musa Aman di mana beliau diiringi semua menteri dari Warisan, termasuk Mohamaddin.

"Sebelum soalan lanjut, kami cuma nak minta penjelasan daripada Menteri Pelancongan kenapa tadi dipanggil media rubbish, idiot ketika menjalankan tugas?" tanya seorang wartawan.

"Bila saya kata rubbish, idiot? (sampah, bodoh)" soal Mohamaddin kembali.

"Saya tidak mengatakan begitu, lebih baik kamu dengar betul, saya tak cakap begitu," katanya menjawab soalan wartawan berkenaan.

Seorang lagi wartawan kemudian bertanya  Mohamaddin untuk menjelaskan apa yang dikatakannya.

"Kamu buktikan kepada saya bila saya kata (rubbish dan idiot)," kata Mohammadin yang juga anggota parlimen Lahad Datu itu.

Sementara itu, Shafie dan Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking cuba mengendalikan semula sidang akhbar berkenaan dengan bertanya kepada pemberita sama ada mempunyai soalan lain.

Sidang media itu kemudian beralih kepada topik rombakan kabinet, apabila Shafie berkata ia adalah hak mutlak Perdana Menteri.

Didakwa enggan gambar dirakam

Beberapa jurugambar daripada organisasi berita berbeza mendakwa kira-kira sejam sebelum sidang akhbar tersebut, mereka mengambil gambar Mohamaddin ketika menteri itu berjalan di lobi Parlimen.

Bagaimanapun Mohamaddin dikatakan mendekati mereka dan memarahi jurugambar tersebut.

"Saya yang dulu dia marah, dia tanya 'Why are you taking my picture' dan lepas tu dia cakap 'you better get lost'.

"(Nadanya) serius. Saya, sudah tentu, takut apabila dia tiba-tiba datang kepada saya.

"Saya kata saya hanya (ambil gambar) untuk simpanan," kata salah seorang daripada jurugambar dari sebuah portal dalam talian.

Dua lagi jurugambar berkata Mohamaddin mendekati mereka selepas itu kerana mengambil gambarnya dan mendengar dia berkata, "What rubbish".

Bagaimanapun, jurugambar terbabit berkata mereka tidak pasti apa yang dirujuk Mohamaddin apabila dia berkata begitu.

Setiausaha Akhbar Mohamaddin kemudian memanggil jurugambar berkenaan selepas sidang akhbar untuk meminta maaf kepada mereka.

Lihat Komen
ADS