Walaupun mereka adalah orang hanyut, namun bekas pelarian Vietnam di negara ini tidak mahu kehadiran mereka di sini dilupakan dari lipatan sejarah.

Bagi memastikan jejak mereka di Malaysia kekal dan diberikan perhatian, Arkib Orang Bot Vietnam (VNBP), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengawalselia kebajikan pelarian di seluruh dunia telah mengambil usaha untuk mencantik dan memulihara kubur waris mereka di negara ini.

Kesungguhan VNBP terserlah apabila mereka memperuntukkan kira-kira RM1 juta untuk mencantikkan dan memulihara kubur pelarian Vietnam yang berselerak di seluruh Malaysia.

Pengarahnya Dong Tran berkata, terdapat lebih 1,000 kubur pelarian Vietnam di seluruh Malaysia dan hampir separuh daripadanya terletak di Pulau Bidong, Terengganu. Pulau berkenaan pernah menampung 250,000 orang pelarian pada suatu ketika dulu.

Kerja-kerja mencantikkan kubur pelarian Vietnam yang terbiar itu akan dimulakan pada Jun ini dan dijangka siap dalam masa lima bulan, katanya kepada pemberita selepas mengetuai lawatan sekumpulan 20 orang warga Vietnam menziarah kubur waris mereka yang mati lemas di perairan Terengganu pada 1978 dan dikebumikan di Jirat Cina, Jalan Pusara.

Seramai 108 orang pelarian Vietnam telah dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Menurut Dong, 56, yang pernah menjadi pelarian dan tinggal di Pulau Bidong berkata, kubur-kubur pelarian Vietnam di negara ini terdapat di Pulau Bidong, Tanjung Jara, Merang, Pulau Tenggol semuanya di Terengganu, Pulau Tengah di Mersing, Johor, Bachok dan Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan.

Beliau yang berhijrah dari Pulau Bidong ke Australia 1990 berkata, setiap tahun, keluarga Vietnam yang tinggal di Australia mengunjungi kubur waris di tanah perkuburan China di Terengganu dan ini merupakan lawatan kedua pada tahun ini.

Dong berkata sebuah badan kebajikan di Australia juga telah memberikan sumbangan kewangan kira-kira RM20,000 untuk proses mencantikkan kubur pelarian Vietnam di jirat Cina itu.

Katanya lagi, kedatangan pelarian vietnam ke negara ini adalah satu sejarah kemanusiaan yang tragis.