Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian: Dana awam RM20 juta bukan untuk kereta terbang

Kementerian Pembangunan Usahawan menjelaskan bahawa peruntukan RM20 juta yang disediakan Might (Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi) tiada kaitan dengan pembangunan projek dron dan kereta terbang/super drone (mobiliti udara) yang dibangunkan oleh Aerodyne Group.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan peruntukan dana itu adalah bagi membangunkan inovasi dan penyelidikan serta pembangunan Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP), dengan DreamEdge dan Might dilantik sebagai peneraju NNCP.

Kementerian itu turut menjelaskan ia tidak mempunyai peruntukan dan kuasa untuk meluluskan dana bagi tujuan pelaburan dalam sebarang projek dron.

“Projek ini (super drone) diterajui oleh sektor swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tempatan. Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan dan oleh itu, ia tidak dibawa ke peringkat MPN (Majlis Pembangunan Negara) atau mesyuarat Jemaah Menteri kerana tidak memerlukan sebarang keputusan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, tiada keperluan untuknya menjalankan audit kewangan dan harta intelek ke atas syarikat Aerodyne Group yang melaksanakan projek super drone kerana ia bukanlah merupakan perolehan kerajaan.

“Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kementerian dan kementerian tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti yang dirancang.

“Kementerian mengambil maklum rumusan dan cadangan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) berkaitan dengan mobiliti udara. Pihak kementerian sedang menyediakan maklum balas yang lengkap. Maklumat yang dikemukakan oleh kementerian ini adalah berdasarkan maklumat yang berada dalam kementerian. Maklumat tindakan agensi lain akan dilihat kembali oleh kementerian,” menurut kementerian itu.

Terdahulu, PAC dalam laporannya mengenai projek super drone yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, dan turut dimuat naik di laman web PAC, menyatakan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof membuat pengumuman terlalu awal mengenai projek tersebut.

Menurut laporan berkenaan, PAC juga mendapati Might melalui VentureTech Sdn Bhd (VTSB) telah meluluskan pelaburan dalam Aerodyne sebanyak RM20 juta yang disalurkan pada 1 Nov lepas.

PAC juga meminta Jabatan Audit Negara (JAN) supaya membuat pengauditan terhadap pelaburan RM20 juta itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS