Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersih: PH hina pengundi Tg Piai dengan pemberian barangan

Pakatan Harapan (PH) kalah teruk pada pilihan raya kecil Tanjung Piai kerana mereka menghina rakyat dengan cuba menyogok pengundi untuk sokongan mereka, kata Bersih 2.0.

Pengerusinya Thomas Fann memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa walaupun PH menjanjikan peruntukan jutaan ringgit di Tanjung Piai, pengundi masih memberi undi kepada BN.

Organisasi pemantau pemilihan itu, katanya, juga kecewa melihat PH terus melanggar peraturan pilihan raya meskipun mereka berjuang menentang semua itu sebelum menjadi kerajaan.

"Sangat sedih kerana kita lihat kerajaan yang berjuang untuk pilihan raya yang bebas dan adil bersama kami di jalanan terjerumus dengan tingkah laku sedemikian untuk memberi mereka kelebihan pada pilihan raya.

"Kami tidak fikir rakyat mengundi 'Malaysia Baru' untuk melihat tabiat lama seperti ini (berulang). Kami mahu melihat standard baru, etika baru.

"Sebab itulah kami tidak terkejut di sebalik sejumlah RM23.93 juta (yang dibelanjakan oleh PH berdasarkan perhitungan Bersih), mereka masih kalah di Tanjung Piai, katanya pada sidang akhbar di pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya pagi ini.

 

Sidang akhbar berkenaan diadakan untuk mengumumkan laporan pemantauan pilihan raya kecil 16 Nov di Johor yang menyaksikan calon BN dari parti MCA, Wee Jeck Seng, menang besar dengan mendapat lebih 15,000 majoriti.

Fann berkata Bersih percaya bahawa pemberian "barangan" adalah antara sebab PH ditolak di Tanjung Piai walaupun ia bukan punca utama kekalahan mereka.

"Sejujurnya, saya tidak fikir ia adalah sebab utama, ada faktor lain dalam minda pengundi, tetapi yang pasti memberi wang tidak melunturkan perasaan negatif mereka terhadap PH."

Menurut laporan Bersih, terdapat sejumlah 21 kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh PH dan BN sejak kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya, Dr Mohd Farid Mohd Rafik pada September hingga hari pengundian.

Daripada jumlah itu, 12 didakwa dilakukan oleh PH manakala sembilan lagi kesalahan oleh BN.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS