Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak pembekalan peralatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bernilai kira-kira RM789 juta hari ini, dengan RM500 juta diperolehi oleh Sapura-LPAT Communication Technologies Sdn Bhd (Sapura-LPAT).

Kontrak tertinggi yang diserahkan kepada Sapura-LPAT kerana ia merupakan projek nasional.

Majlis yang diadakan di Pameran Defence Services Asia (DSA) 2006 di Subang, selangor, bermula dengan penyerahan surat setuju terima untuk kontrak bagi pembekalan peralatan komunikasi tentera darat kepada Sapura-LPAT.

Kementerian juga menandatangani kontrak bagi pembekalan dan penghantaran 108 buah trak tiga tan perkhidmatan umum, jadual peralatan sempurna (CES) dan penerbitan teknikal dengan DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd yang bernilai RM23 juta.

Kontrak pembekalan dan penghantaran peluru 155mm kepada ATM diserahkan kepada Syarikat SME Ordinance Sdn Bhd bernilai RM54 juta dan kontrak bagi pembekalan artileri pertahanan udara, radar amaran setempat yang bernilai RM80 juta diberikan kepada Eads Deutschland GMBH, dari Jerman.

Satu lagi kontrak adalah pembekalan instrumen kawalan penyelaman jenis 'scortene', pentas simulator dan perkhidmatan yang berkaitan untuk penggunaan Tentera Laut Malaysia (TLDM) antara Kementerian Pertahanan dengan sebuah Syarikat Perancis, Syarikat Armaris S.A, yang bernilai RM106 juta.

Menurut laporan Bernama, perjanjian kontrak itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Tan Sri Subhan Jasmon dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Datuk Ahmad Latssi Hashim dengan wakil syarikat tempatan dan luar negara.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin.

Projek nasional

Mereka turut menyaksikan penyerahan surat niat untuk latihan juruteknik pesawat SU 30 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Hindustan Aeronautics Limited dan juga penyampaian sistem maklumat pangkalan data geospatial (DGIS) oleh Heitech Padu Berhad kepada Kementerian Pertahanan.

Najib berkata kontrak bernilai tinggi itu diserahkan kepada anak kumpulan Sapura kerana ia merupakan sebuah projek nasional.

Katanya, sebanyak 3,000 alat komunikasi akan dikeluarkan kepada Kementerian Pertahanan untuk kegunaan tentera darat.

"Sistem Komunikasi ini dikeluarkan bagi taktikal radio yang khas untuk operasi tertentu," katanya.

Katanya pengeluaran alat komunikasi itu menggunakan seratus peratus kemahiran tempatan dan akan digunakan oleh ATM serta dijual ke luar negara.

Najib berkata bekalan pertama alat komunikasi berkenaan akan diterima pada akhir tahun ini.

Beliau menjelaskan sistem komunikasi itu akan digunakan oleh anggota tentera darat yang terlibat dalam operasi bagi tujuan untuk melengkapkan sistem peralatan komunikasi berkemampuan tinggi.

"Ini adalah untuk asas ketenteraan yang lebih baik. Kalau asas ketenteraan tidak baik maka operasi tentera tidak dapat bertindak dengan berkesan," katanya.