'Pengerusi dan timb pengerusi tetap AMK dilucut kerana umur lebih 35 tahun'
Pelucutan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap Pemuda PKR (AMK) dibuat untuk mengelakkan masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Biro Perundangan AMK Chiew Choon Man berkata pelantikan mereka pada 16 Nov tahun lepas adalah tidak sah dari awalnya (void ab initio).
Chiew menjelaskan bahawa Perlembagaan PKR memperuntukkan had umur bagi anggota AMK adalah 35 tahun.
Menurut Chiew, sewaktu pelantikan itu, Muhamad Mizan Adli Mohd Noor berumur 35 tahun dua bulan, sementara Mohd Ramly Ahmad berumur 38 tahun tujuh bulan.
"Perkara 5.2 Peraturan AMK yang dirujuk oleh (Timbalan Ketua AMK) Muhammad Hilman Idham adalah tidak terguna pakai dalam kes ini.
"Peraturan tersebut hanya terpakai kepada seseorang anggota AMK yang dipilih selaras dengan Perkara 5.1 dan 5.3 Peraturan AMK (berusia di bawah 35 tahun pada tahun pemilihan) di mana dia akan dibenarkan untuk memegang jawatan sehingga tamat tempoh khidmat walaupun telah melebihi usia 35 tahun.
"Pelucutan jawatan-jawatan tersebut perlu dibuat bagi memperbetulkan pemilihan yang tidak sah dan juga secara jelas melanggar perlembagaan parti.
"Sekiranya tindakan tidak diambil, kekhilafan ini berkemungkinan akan menjejaskan status pendaftaran parti dengan ROS," katanya.
Muhammad Mizan dan Mohd Ramly tidak memegang jawatan dalam AMK, tetapi dipilih oleh perwakilan itu tahun lepas untuk mempengerusikan mesyuarat tahunan mereka pada tahun berikutnya.
Selain isu mengenai usia mereka, Muhammad Mizan dan Mohd Ramly dilucutkan dari jawatan mereka pada 28 Nov lalu atas alasan bahawa mereka memperoleh lebih banyak undi daripada jumlah perwakilan yang hadir semasa mesyuarat.
Bagaimanapun, penyingkiran mereka dilihat mempunyai kaitan dengan pergeseran dalaman PKR antara kem Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

