Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 2,296

Hari kedua banjir di Terengganu pagi ini menyaksikan peningkatan jumlah mangsa kepada 2,296 daripada 648 keluarga berbanding 875 mangsa daripada 258 keluarga malam tadi.

Setakat ini, 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah telah dibuka. Besut mencatat pembukaan PPS paling banyak iaitu di 21 lokasi.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pembukaan 21 PPS itu melibatkan 1,148 daripada 290 keluarga berbanding malam tadi hanya 10 PPS dibuka, melibatkan 457 orang daripada 113 keluarga.

"Daerah Setiu juga terus merekod peningkatan mangsa kepada 553 orang daripada 189 keluarga di 10 PPS berbanding hanya 362 orang daripada 131 keluarga di enam PPS sebelum ini. Selain itu, dua daerah terbaru dilanda banjir iaitu Hulu Terengganu dan Dungun juga merekodkan peningkatan jumlah mangsa pagi ini," menurut applikasi itu.

Terdapat lima PPS di Hulu Terengganu yang menempatkan 112 mangsa daripada 35 keluarga berbanding 48 mangsa daripada 12 keluarga di tiga PPS malam tadi.

Di Dungun pula, empat PPS beroperasi ketika ini yang menempatkan 483 mangsa daripada 134 keluarga berbanding hanya lapan mangsa daripada dua keluarga malam tadi.

Sementara itu, paras air di empat sungai telah merekodkan bacaan melebihi paras bahaya setakat 7.30 pagi ini iaitu Sungai Besut di Kampung La setinggi 23.41 meter (m) berbanding paras bahaya 21.8m, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu setinggi 21.5m melepasi paras bahaya 21m.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portalnya juga melaporkan Sungai Dungun di Kuala Jengai merekod bacaan 22.45m mengatasi paras bahaya 21m dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri merekod bacaan 8.95m berbanding paras bahaya 8.8m.

-Bernama

Lihat Komen
ADS