Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu redah air paras pinggang selamatkan anak OKU

Seorang ibu bertarung nyawa meredah air banjir sedalam paras pinggang untuk menyelamatkan anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara, petang semalam.

Azizah Muhammad, 45, dari Kampung Taman Seri Agung berkata beliau mengambil risiko berkenaan untuk menyelamatkan anaknya, Nor Alif Hakimi Norarizan, 11, yang mengidap cerebral palsy.

"Ketika itu air sudah naik pada paras lutut di dalam rumah manakala paras pinggang di luar rumah. Saya terpaksa mendukung anak yang tidak dapat itu meredah air paras pinggang sebelum menaiki kereta ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelewek ini," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara berkenaan di Tanah Merah, hari ini.

Azizah merupakan antara 39 mangsa banjir membabitkan sembilan keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara berkenaan selepas kediaman mereka dilanda banjir sejak semalam.

Katanya beliau telah mengemas kelengkapan rumah sejak hujan lebat bermula tiga hari lepas dan memindahkan barangan penting ke sebuah rak yang dibina khas untuk musim banjir.

"Air mula masuk ke dalam rumah rumah pada kira-kira pukul 4.00 pagi semalam dan kami empat beranak memutuskan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara kerana tidak mahu mengambil risiko," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Roslina Muhammad Arifin, 50, yang tinggal di kampung sama berkata hampir setiap tahun beliau sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan banjir.

Beliau berkata Taman Seri Agung terletak di kawasan yang rendah dan berdekatan sungai justeru penduduk di kawasan itu merupakan antara yang terawal berpindah akibat banjir.

"Saya juga mempunyai anak OKU iaitu Alisya Nur Azirah, 9, yang mengalami sindrom down. Ketika berpindah air sudah mencecah paras pinggang.

"Setakat pagi tadi rumah kami masih dinaiki air dan saya berharap ia cepat surut kerana kami mahu pulang ke rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Zainuddin Mat Yusof berkata pihaknya mula memindahkan mangsa banjir sejak malam semalam selepas beberapa kampung dinaiki air.

"Polis akan sentiasa membantu untuk memindahkan mangsa banjir walaupun ia berlaku pada waktu malam demi keselamatan penduduk.

“Saya nasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan mudah dinaiki air supaya membuat persiapan awal seperti menyimpan dokumen penting di tempat selamat,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS