Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA pinda perlembagaan untuk mantapkan kemasukan ahli bersekutu

Presiden MCA, Wee Ka Siong mengumumkan parti itu akan meminda perlembagaannya bagi memantapkan kemasukan ahli bersekutu yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Berucap di perhimpunan agung parti itu yang ke-66 hari ini, beliau berkata penyertaan ahli bersekutu sudah wujud sejak awal penubuhan parti itu.

"Walaupun MCA sinonim dengan Cina, tetapi kita (mengamalkan) keterbukaan dengan berjuang untuk nasib semua kaum.

"Saya masih ingat, antara ahli bersekutu yang terawal bersama MCA merupakan seorang lelaki berbangsa India," katanya sambil menegaskan parti itu tidak pernah meminggirkan kaum-kaum lain.

Beliau berharap penyertaan ahli bersekutu MCA sekali gus membuka lembaran baru dalam arena politik negara.

Semalam, Timbalan Presiden MCA Dr Mah Hang Soon berkata, ahli bersekutu MCA tidak mempunyai hak untuk mengundi dalam mesyuarat atau perhimpunannya.

Sementara itu, Wee juga berkata MCA akan meminda perlembagaannya bagi menurunkan had umur untuk menyertai parti itu dari 18 tahun kepada 16 tahun.

"Ini seiring dengan pindaan perlembagaan persekutuan mengenai penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 lalu," katanya.

Setakat 31 Okt, MCA mempunyai seramai 150,187 ahli belia daripada jumlah ahli seramai 1.07 juta.

MCA sebelum ini menghadapi masalah dalam merekrut golongan muda menyertai parti itu.

Menurut laporan Setiausaha Agung Pemuda MCA 2019, parti itu hanya memiliki 4,870 ahli berusia di bawah 25 tahun.


Lihat Komen
ADS