Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sebaiknya Zakaria rayu sendiri, kata Anwar
Diterbitkan:  Dec 1, 2019 12:47 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim bersifat terbuka sekiranya ada anggota Majis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipecat parti itu baru-baru ini mahu membuat rayuan.

Namun kata ahli parlimen Port Dickson itu, sebaiknya rayuan berkenaan dikemukakan oleh tuan punya badan sendiri, iaitu Zakaria Abdul Hamid.

“Rayuan saya tiada halangan, saya rasa ia adalah hak ahli. Ahli boleh mendesak supaya ia dirayu namun sebaiknya yang merayu Zakaria itu sendiri,” katanya lapor seperti dipetik Sinar Harian.

Zakaria ialah ketua PKR Bera yang sebelum ini pernah menjadi setiausaha politik Menteri Kerja Raya, Baru Bian. Dia dipecat pada 24 Nov lalu atas dakwaan terlibat dengan rasuah.

Pengerusi lembaga disiplin parti Ahmad Kassim berkata keputusan itu dicapai semasa mesyuarat majlis pimpinan pusat (MPP) di Petaling Jaya.

Disebalik alasan yang diberikan itu, pemecatan berkenaan dibayangi persaingan dua kem dalam PKR yang kini dilihat semakin sengit, terutama menjelang kongres parti itu hujung minggu depan.

Sebelum ini, Zakaria dalam kenyataannya menggesa Anwar dan Setiausaha Agung PRK, Saifuddin Nasution Ismail agar tidak "bersembunyi" di belakang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewajarkan tindakan mereka.

Ada yang tak tepat

"Saya mengulangi pemecatan saya adalah menyalahi undang-undang dan tidak adil, dan menyeru kepada Anwar, Saifuddin dan kepimpinan parti untuk menetapkan perkara yang betul.

"Saya sekali lagi menggesa mereka untuk berhenti bersembunyi di belakang SPRM dan menggunakan namanya untuk menyembunyikan kesalahan mereka sendiri. Mereka sebaliknya perlu bertindak adil mengikut prinsip-prinsip reformasi," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Semalam Malaysiakini melaporkan 19 daripada 64 ahli MPP PKR termasuk menolak pemecatan Zakaria dan sebaliknya menganggap ia tidak sah kerana tidak melalui proses sepatutnya.

Antara mereka ialah Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.  Turut dikaitkan dengan bantahan itu ialah bekas ahli parlimen Batu, Tian Chua; Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; dan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Sementara ityu Anwar mendakwa ada pihak cuba mempermainkan isu desakan agar beliau dan setiausaha agung memohon maaf dengan menggambarkan seolah-olah pemecatan tersebut tidak mendapat sokongan dua pertiga anggota MPP.

Anwar menegaskan, jumlah tersebut sebenarnya kurang daripada 19 orang, sekali gus menyifatkan kenyataan bersama dibuat pihak terlibat melalui satu memo sebagai "tidak semuanya benar".

Apatah lagi, kata Anwar, beberapa pemimpin dalam senarai itu turut menafikan kenyataan itu secara peribadi kepadanya.

“Beberapa pimpinan MPP termasuk Tian Chua dan R Sivarasa menghubungi saya dan menyatakan kenyataan yang ditandatangani oleh timbalan presiden tidak tepat," kata Anwar.

Lihat Komen
ADS