Remaja cuba langgar polis cedera ditembak
Seorang remaja lelaki cedera ditembak di bahu kiri ketika cuba melanggar seorang anggota polis dalam kejadian di Kedai Lalat, Kota Bharu awal pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, suspek - yang berusia 15 tahun dan memandu kereta - berada dalam sebuah kereta bersama seorang remaja lain berusia 17 tahun dan seorang wanita yang belum dikenal pasti.
Katanya mereka cuba melarikan diri menggunakan kereta jenis Perodua Kancil selepas diarahkan berhenti oleh pasukan peronda.
Katanya anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu sebelum itu sedang melakukan rondaan di Kedai Lalat apabila terserempak dengan kenderaan suspek dalam keadaan mencurigakan.
"Selepas mengekori kenderaan suspek, pasukan peronda kemudian mengarahkan mereka supaya berhenti namun tidak diendahkan sebelum suspek membuat pusingan U berdekatan sebuah masjid di kawasan berkenaan.
"Polis kemudian mengejar suspek dan memotong kenderaan yang dinaiki mereka sebelum seorang anggota polis berpangkat koperal keluar dari kenderaan ronda untuk menghentikan kenderaan dinaiki suspek," katanya kepada pemberita selepas program berkhatan kanak-kanak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata suspek cuba merempuh anggota polis yang menahan mereka menyebabkan dia tergelincir dan terjatuh.
"Tindakan suspek yang masih tidak menghentikan kenderaan menyebabkan anggota polis terjatuh itu melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki suspek.
"Dia kemudian memecahkan cermin tempat duduk pemandu dan menarik keluar pemandu kenderaan itu dan pemeriksaan awal mendapati suspek telah tercedera pada bahu kiri akibat terkena tembakan," katanya.
Hasanuddin berkata suspek yang tercedera itu kemudian dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Siasatan lanjut secara terperinci akan dilakukan oleh pihak kami bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu," katanya.
- Bernama

