Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih ramai akan dipanggil bantu siasat daulah terpendam

Lebih ramai akan dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung dakwaan kewujudan daulah terpendam dalam kerajaan, kata pegawai kanan Bukit Aman hari ini.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, memberitahu Malaysiakini setakat ini ada individu dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk seorang wartawan.

Katanya, polis menjangkakan akan ada orang lain akan diminta memberi keterangan dan tidak menolak kemungkinan ia akan membabitkan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa, dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

"Ya, kami akan panggil (lebih ramai lagi) seorang demi seorang. Kami panggil sesiapa yang perlu, yang berkenaan, untuk menyelesaikan siasatan," katanya.

Tambah Mior Faridalathrash, siasatan berkenaan dakwaan daulah terpendam itu dijalankan serentak dengan beberapa kes lain, termasuk dakwaan bahawa polis menahan 12 suspek yang ada kaitan dengan gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada Okt lalu yang dikaitkan dengan isu Zakir Naik.

Daulah terpendam ialah istilah yang digunakan merujuk kepada gerakan individu atau kumpulan yang beroperasi secara rahsia untuk mensabotaj kerajaan.

Ia biasanya melibatkan anggota dalam kerajaan sendiri.

Wujud berlapis-lapis

Minggu lalu, Sivarasa memberitahu sebuah portal berita bahawa keputusan mendakwa 12 individu yang dikaitkan dengan LTTE itu dibuat ketika Peguam Negara, Tommy Thomas, berada di luar negeri.

Ahli parlimen Sungai Buloh dari PKR itu mengesyaki keputusan tersebut diambil oleh sebahagian daripada anggota daulah terpendam yang ada di Jabatan Peguam Negara.

"Isu daulah terpendam ada dalam lebih daripada satu institusi. Peguam Negara bercuti selama dua minggu. Inilah yang saya maksudkan. Kadang-kadang satu orang sahaja boleh buat banyak perkara.

"Sekiranya pihak berkuasa sudah menandatangani pendakwaan, ia sukar untuk ditarik balik kerana ada tindak balas (negatif).

"Jadi, anda perlu menghentikannya sebelum ia berlaku. Oleh itu, anda melihat daulah terpendam berlapis-lapis, " kata Sivarasa seperti dipetik The Malaysian Insight.

Santiago, yang merupakan Ahli Parlimen DAP, sebelum ini menyatakan kebimbangan bahawa walaupun 12 dibebaskan, mereka mungkin akan dipenjarakan sehingga rayuan mereka didengar.

Lihat Komen
ADS