Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir: Ibu dalam pantang panjat tingkap selamatkan diri

Seorang wanita yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak, terpaksa memanjat tingkap rumah untuk keluar menyelamatkan diri, selepas rumah ibunya di Kuala Berang, ditenggelami banjir.

Zaiton Mohd Ghazali, 34, memanjat tingkap itu bersama tiga anaknya termasuk bayi berusia tiga minggu, serta ibunya sebelum menaiki perahu untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Kepah.

Wanita itu berkata ibunya terpaksa mendayung sendiri perahu itu, sejauh satu kilometer untuk ke PPS berkenaan.

Zaiton memberitahu walaupun masih sakit kerana bersalin secara pembedahan tiga minggu lepas, dia terpaksa menggagahkan diri mendukung bayi, dan membawa bersama dua lagi anak yang masih kecil untuk menyelamatkan diri.

"Saya tak sangka air banjir naik dengan begitu cepat kali ini, sehingga hampir tenggelam kerusi serta katil dalam rumah. Untuk menyelamatkan diri saya, ibu serta tiga anak kecil terpaksa keluar melalui tingkap dan menaiki perahu untuk mendapatkan bantuan di PPS," katanya ketika ditemui hari ini.

Kata Zaiton, pengalaman itu akan dikenang sepanjang hayat dan menjadi pengajaran untuknya supaya lebih berwaspada pada masa akan datang.

Sementara itu, seorang warga emas yang menghidap sakit buah pinggang dan angin ahmar dipindahkan ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Matang.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata pesakit itu, Abdul Latif Abdullah, 76, yang berasal dari Kampung Kepah sepatutnya menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Hulu Terengganu pagi ini.

Bagaimanapun hujan lebat yang tidak berhenti sejak malam tadi menyebabkan air sungai naik secara mendadak dan membanjiri hampir semua kawasan di daerah Hulu Terengganu termasuk kampung Abdul Latif.

"Kita terima panggilan daripada keluarga pesakit pagi tadi yang memaklumkan bahawa beliau perlu dibawa ke hospital untuk jalani hemodialisis.

"Selain Abdul Latif ada beberapa lagi pesakit termasuk anak kecil yang demam panas dan perlu dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya ketika ditemui di PPS SMK Matang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS