Malaysiakini BERITA

Umno tak pernah bela pemimpin bersalah - Asyraf

Haspaizi Zain

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tidak pernah berlaku dalam sejarah Umno mempertahankan pemimpin yang bersalah, kata Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelasnya, Umno bukan seperti salah sebuah parti kerajaan yang tetap mempertahankan pemimpinnya walaupun telah dibuktikan bersalah di mahkamah.

"Umno kalau kita melihat sejarahnya, tidak pernah pertahankan pemimpin yang didapati bersalah.

"Selagai mana (seseorang pemimpin) tidak dihukum bersalah, kita tidak boleh menghukumnya dengan mendahului mahkamah.

"Apakah Najib Razak sudah dihukum bersalah? Beliau baru dituduh, dalam Islam kita tidak boleh hukum seseorang sebelum dibuktikan bersalah," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Asyraf berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bekas pemimpin Umno yang berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah ketika ini.

Pada 11 Nov lalu, mahkamah tinggi memerintahkan bekas perdana menteri Najib Razak membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi kes tersebut.

Menurut Mohd Nazlan, Najib memainkan peranan dalam pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011.

Beliau juga mendapati bekas presiden Umno itu menggunakan dana sebanyak RM42 juta daripada SRC untuk kepentingan sendiri.

Jika didapati bersalah, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Mengulas lanjut Asyraf berkata semua pihak tidak harus diketepikan daripada Umno memandangkan setiap mereka mempunyai peranan tersendiri.

Katanya Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, Najib dan bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin harus menggembleng tenaga bersama.

Tambahnya, setiap pemimpin itu mempunyai kekuatan tersendiri dan Najib misalnya telah memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan menjawab pelbagai kritikan dilontarkan terhadap kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun Asyraf menegaskan yang Umno tidak akan berkompromi dalam soal integriti termasuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Kalau betul dia (pemimpin) bersalah, Umno tidak akan mempertahankannya. Jangan dahului mahkamah ikut 'rule of law'.

"Najib bekas perdana menteri ada kekuatannya yang tersendiri, hari ini Najib adalah pembangkang yang efektif, mengkritik dengan fakta," katanya lagi.

Mengimbau sejarah parti itu khususnya sayap pemuda, Asyraf berkata pada 1976, Umno pernah memecat ketua pemudanya Harun Idris berikutan beberapa tuduhan rasuah terhadapnya.

Dalam pada itu, Asyraf berkata Umno khususnya pemuda perlu mengakui bahawa parti itu telah melakukan kesilapan sebelum ini dan perlu memperbaikinya.

Tegasnya, Pemuda Umno perlu bergerak maju ke hadapan selepas dihukum oleh rakyat disebabkan oleh pelbagai faktor.

Kekalahan Umno katanya adalah medan terbaik untuk mengembalikan parti itu pada landasan perjuangannya untuk rakyat.

"Sebab itu mantera kita bangkit kembali, supaya kembali pada asas bahawa Umno perjuangan," jelasnya.