Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mangsa banjir K'tan, T'ganu, Johor cecah lebih 14,000

Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Johor kini mencecah 14,193 orang melibatkan 4,584 keluarga sehingga petang ini.

Di KELANTAN, mangsa banjir di sembilan jajahan meningkat kepada 8,550 orang membabitkan 2,910 keluarga sehingga 4 petang, berbanding 7,366 orang daripada 2,318 keluarga pada 1 tengah hari tadi.

Jajahan terlibat adalah Pasir Mas iaitu seramai 4,662 mangsa, Kuala Krai (1,025), Pasir Puteh (784), Kota Bharu (730), Tanah Merah (498), Bachok (260) dan Machang (215), Jeli (179) dan Tumpat (197).

Dalam pada itu laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di forecast.water.gov.my menunjukkan paras sungai-sungai utama di Kelantan kekal sebagaimana yang direkodkan pada jam 1 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, empat sungai Kelantan masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas di paras 10.45 meter (m) melepasi paras bahaya 9m.

Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pula merekodkan bacaan 24.37m (bahaya 23.5m), Sungai Kelantan di Kuala Krai pada paras 25.23m (bahaya 25m) dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah pada paras 16.12m berbanding paras bahaya 16m.

Dua sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai pada paras 33.74m (amaran 31m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pada paras 2.48m (amaran 2.15m).

Tiga sungai pula telah melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang pada paras 56.48m (berjaga-jaga 56m), Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai pada paras 34.27m (berjaga-jaga 32m) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Kota Bharu pada paras 3.37m (berjaga-jaga 3m).

Di TERENGGANU, situasi banjir tidak banyak berubah dengan hanya sedikit penurunan jumlah mangsa iaitu 5,591 orang melibatkan 1,661 keluarga di 124 pusat Pemindahan Sementara (PPS) berbanding 5,935 orang (1,796 keluarga) di 126 PPS pada tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata Besut yang merupakan daerah paling teruk terjejas merekodkan sedikit penurunan iaitu 1,846 mangsa (485 keluarga) di 50 PPS berbanding 1,927 orang (520 keluarga) di 52 PPS sebelum ini.

"Setiu turut merekodkan sedikit penurunan iaitu 1,784 mangsa (512 keluarga) di 30 PPS berbanding 1,795 orang (545 keluarga) di 31 PPS tengah hari tadi.

"Situasi banjir di Hulu Terengganu juga sama mencatat sedikit penurunan kepada 1,415 orang (518 keluarga) berbanding 1,600 orang (563 keluarga) berbanding 1,751 mangsa (553 keluarga). Jumlah PPS kekal di 26 lokasi ketika ini,” katanya.

Di Dungun, mangsa meningkat kepada 384 orang (107 keluarga) di 10 PPS berbanding 352 orang (101 keluarga) manakala di Marang,mangsa bertambah kepada 106 orang (24 keluarga) berbanding 71 mangsa (16 keluarga) tengah hari tadi.

Di Kuala Nerus pula, jumlah mangsa meningkat kepada 48 orang (12 keluarga) berbanding 23 orang (lima keluarga) tengah hari tadi manakala di Kemaman berlaku penurunan ketara iaitu hanya lapan mangsa daripada tiga keluarga di satu PPS berbanding 167 orang (46 keluarga) setelah tiga PPS ditutup sebentar tadi.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang http://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula melaporkan empat sungai di tiga daerah masih melepasi paras bahaya setakat ini.

Dua sungai itu terletak di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap merekod bacaan 21.95m melepasi paras bahaya 21m dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri setinggi 9.01m (bahaya 8.80m).

Di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping mencatat bacaan 20.59 meter (bahaya 19.7 meter). Selain itu, Sungai Besut di Kampung La pula merekod bacaan 22.37m (bahaya 21.8m).

Di JOHOR, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir menurun sedikit kepada 52 orang mangsa berbanding 54 mangsa setakat pukul 4 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata semua mangsa merupakan 13 keluarga yang masing-masing dari Kampung Parit Betong, Kampung Parit Abdul Hadi dan Kampung Parit Ju di Batu Pahat.

Mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan, Sekolah Agama Seri Comel yang dibuka sejak 8 pagi tadi bagi menunggu paras air yang memasuki kediaman, menurun.

Di PAHANG, banjir pulih apabila PPS di Kampung Janglau, Rompin ditutup pada 12 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata tiga mangsa yang mendiami PPS Balai Raya Kampung Janglau dibenarkan pulang memandangkan air di rumah mereka telah surut.

Mereka yang terdiri daripada sebuah keluarga merupakan mangsa pertama banjir di Pahang, selepas rumah mereka di Kampung Janglau 4 dinaiki air pagi semalam ekoran hujan berterusan.

Pihak berkuasa seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga dilaporkan aktif memantau keadaan cuaca bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS