Malaysiakini
BERITA

Anifah sedih tapi tak terkejut keputusan mahkamah

Bernama

Diterbitkan

Bekas menteri luar Anifah Aman berkata beliau sedih namun tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum lepas.

"Saya akan kembali ke Kimanis dan berbincang dengan penyokong saya mengenai tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.

Anifah tanpa parti selepas meninggalkan Umno pada September 2018. Beliau memegang kerusi Kimanis selama 20 tahun selepas memenanginya buat pertama kali pada 1999.

Hari ini, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos tahun ini yang mengisytiharkan kemenangan Anifah di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Karim Bujang memfailkan petisyen itu pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi. Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Sementara itu di Kota Kinabalu, Warisan menyambut baik keputusan Mahkahmah Persekutuan itu.

Setiausaha Agungnya, Loretto Padua bagaimanapun mengingatkan pemimpin dan ahli parti bahawa kemenangan sebenar adalah apabila Warisan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

Sementara itu, mengenai calon yang bakal dipilih bertanding dalam PRK nanti, beliau berkata ia adalah keputusan Presiden Warisan dan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.

- Bernama

 

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.