BERITA Malaysiakini

Mizan tetap mahu pengerusikan kongres AMK lepas dipecat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemimpin Pemuda PKR (AMK) Mizan Adli Mohd Noor bertegas untuk hadir mempengerusikan kongres Pemuda PKR di Melaka Jumaat ini walaupun jawatannya sebagai pengerusi tetap kongres AMK telah dilucutkan.

“Saya tetap akan mempengerusikan sidang Kongres Nasional AMK. Itu amanah para perwakilan dan tanggungjawab yang saya akan pikul.

“Jika ingin gantikan saya, boleh usulkan ketika kongres akan datang,” katanya, seperti dilaporkan oleh The Insight Malaysia hari ini.

Mizan juga menegaskan bahawa dia masih pengerusi tetap yang sah kerana dipilih dalam sidang Kongres Nasional AMK yang lalu.

Pada 28 Nov, Mizan dan Mohd Ramly Ahmad masing-masing dilucutkan jawatan sebagai pengerusi tetap AMK dan timbalan pengerusi ketua tetap AMK.

Perkembangan itu hadir ketika PKR dilhat sedang bergelut dengan pergeseran dalaman antara kem Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Mereka dimaklumkan bahawa mereka dilucutkan jawatan susulan keraguan dalam pemilihan mereka.

Menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini, pengiraan manual menunjukkan bahawa kedua-duanya telah menerima lebih banyak undi daripada jumlah perwakilan yang hadir.

Sementara biro perundangan AMK menjelaskan bahawa pelucutan jawatan mereka adalah kerana melebihi umur 35 tahun yang ditetapkan.

Kedua-dua mereka sebelum ini mendesak kepimpinan pusat untuk menyiasat secara menyeluruh penyingkiran mereka dan mempertikaikan alasan pelucutan jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Mizan kini mempersoalkan mengapa pimpinan PKR masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara ini.

“Sehingga hari ini, saya tidak mendapat sebarang penjelasan sama ada daripada pimpinan AMK atau MPP berhubung perlucutan jawatan saya sebagai pengerusi tetap AMK.

“Saya hanya menerima surat rasmi yang dihantarkan kepada saya melalui emel,” katanya lagi.