Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan dituduh cabul gadis semasa temu duga kerja

Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas 10 tuduhan mencabul tiga gadis, Julai lepas.

Tertuduh, Md Hamdan Ahmad, 65, mengaku tidak bersalah selepas semua 10 pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, Md Hamdan dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan tiga wanita berusia 20 tahun di dalam pejabatnya di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh.

Dia dakwa melakukan kesalahan tersebut antara pukul 9.45 pagi hingga 5.50 petang pada 29 Julai lalu dan semua 10 pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan dengan mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

Majistret menetapkan 16 Jan depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan ikat jamin RM25,000 dengan dua penjamin selain mengarahkan tertuduh tidak menganggu mangsa dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwaan Raya, D. Sunit Kaur Jessyz, Nurul Qistina Qamaru Abrar dan Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Khairilazwar Khalil.

Media pada Julai lalu melaporkan, ahli perniagaan tersebut mencabul ketiga-tiga wanita berkenaan semasa sesi temu duga kerja.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS