Paling Popular
Terkini

Kejadian pemain bola sepak profesional liga Inggeris Fabrice Muamba, 23, yang tiba-tiba rebah di tengah padang semasa perlawanan yang disiarkan secara langsung di televisyen pada Mac 2012, benar-benar mengejutkan.

Jantung pemain muda yang sihat itu terhenti berdegup selama 78 minit sebelum ia berfungsi semula.

Mujurlah tindakan pantas pasukan perubatan dan pakar kardiologi yang berada di lokasi dapat “menghidupkan” Muamba kembali.

Selepas insiden itu, meskipun kesihatannya telah pulih dan beliau dapat menjalani hidup secara normal, Muamba terpaksa bersara sebagai pemain bola sepak profesional.

Kini, Muamba menjadi jurulatih kelab bola sepak belia, berumah tangga dan mempunyai dua anak lelaki. Beliau juga menyertai program tarian di televisyen British.

Kematian mengejut di padang

Hakikatnya, insiden yang menimpa Muamba adalah kejadian jantung terhenti (cardiac arrest) iaitu keadaan apabila terhentinya fungsi jantung tanpa denyutan dan tekanan darah berlaku.

Ia ekoran detak ritma kardium (jantung) yang abnormal dan keadaan sedemikian boleh menjurus kepada kematian.

Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Yap Yee Guan berkata orang ramai sering menyamakan kejadian jantung berhenti secara tiba-tiba sebagai serangan jantung, namun sebenarnya kedua-duanya adalah berbeza.

Beliau menjelaskan, serangan jantung berlaku apabila aliran darah ke jantung secara tiba-tiba berkurangan disebabkan oleh arteri koronari yang dihentikan daripada plak pecah.

Sementara itu, kejadian jantung berhenti secara tiba-tiba disebabkan berlakunya pergerakan pantas ritma elektrik yang tidak menentu (ketidaktekalan) jantung.

"Kejadian jantung berhenti secara mendadak boleh menyerang sesiapa sahaja sama ada atlet ataupun bukan atlet. Jika atlet muda, ia lazimnya disebabkan oleh faktor genetik.

"Kebanyakan kes kematian secara tiba-tiba akibat jantung dalam kalangan atlet muda disebabkan oleh aritmia ventrikular (jantung berdegup secara tidak normal) biasanya dikekalkan dari takikardia ventrikel (jantung berdegup dengan cepat) atau fibrilasi ventrikel (rentak jantung yang tidak normal, cepat dan tidak sekata)," jelasnya.

Menurut hasil penyelidikan di Amerika Syarikat, 80 peratus kes kematian mengejut yang melibatkan atlet berumur 35 tahun dan ke atas, adalah disebabkan oleh penyakit arteri koronari, manakala atlet muda yang meninggal akibat jantung berhenti secara tiba-tiba dikesan mewarisi penyakit jantung .

Kardiomiopati hipertrofi - penebalan dinding jantung yang menyebabkan gangguan keupayaan pengisian semula dan pengepaman jantung.

Dr Yap berkata kebanyakan atlet muda yang meninggal dunia akibat jantung berhenti berdegup secara tiba-tiba mempunyai genetik kardiomiopati hipertrofi (HCM), iaitu penyakit dinding berotot pada jantung atau miokardium menjadi tebal. Penebalan dinding jantung akan menyebabkan gangguan keupayaan pengisian semula dan pengepaman jantung.

"Otot jantung yang menebal akan membuatkan jantung sukar mengepam darah. Justeru jantung akan bekerja lebih kuat. Individu yang mempunyai masalah jantung seperti ini dilarang bersukan. Sekiranya tidak, mereka mungkin akan mati secara spontan akibat jantung berhenti secara tiba-tiba,” katanya.

Individu yang menghidap HCM dan melakukan aktiviti sukan boleh menyebabkan tubuh mereka menjadi nyahidrat, kehilangan banyak garam dan mengalami ketakimbangan elektrolit.

Mereka juga mempunyai tahap adrenalin yang lebih tinggi ekoran daripada tindak balas badan untuk bersenam, serta ketidakseimbangan asid atau asidotik (peningkatan keasidan dalam darah dan tisu badan yang lain).

"Jantung boleh menjadi asidotik (keadaan asid darah yang kurang dari pH 7.35) iaitu seperti ketika mengalami kekejangan di kaki selepas bersenam dan jantung tidak boleh berhenti dalam keadaan normal.

Bagi individu yang mengalami keadaan jantung tidak normal, kematian boleh berlaku sekiranya terdapat ketidakseimbangan berasaskan asid walaupun hanya sedikit, " katanya.

Tahu sejarah keluarga

Menurut Dr Yap, HCM hanya boleh dikesan melalui ujian elektrokardiogram (ECG) yang mengukur aktiviti elektrik jantung melalui pengimejan resonans magnetik (MRI) serta biopsi untuk kes-kes yang sangat spesifik.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kaedah ini tidak berapa tepat dan mahal semata-mata untuk menentukan jangkaan bila akan berlakunya serangan jantung secara mengejut.

Antara simpton amaran serangan jantung atau kejadian jantung berhenti secara mengejut termasuk sakit dada, sesak nafas, palpitasi (perasaan berdebar-debar yang biasanya disebabkan peningkatan kadar denyutan jantung), pening, pitam dan sawan.

Dr Yap menegaskan daripada sejarah keluarga pesakit muda yang berdepan masalah dengupan jantung terhenti secara tiba-tiba, ia dapat menentukan sama ada individu berkenaan mungkin menghidap HCM.

"Kebanyakan yang menghidap HCM tidak menyedari bahawa mereka berdepan keadaan ini kerana lazimnya penghidapnya tidak mengalami simptom berkenaan. Simptom awal mungkin kematian secara mengejut dan ia sudah terlambat," katanya.

Sebelum terlibat dalam sebarang aktiviti sukan, seseorang individu khususnya mereka yang mempunyai sejarah keluarga penghidap jantung berhenti berdengup secara mengejut, dinasihatkan supaya bertemu pakar kardiologi dan membuat pemeriksaan jantung.

Mereka yang berisiko terkena penyakit jantung koronari seperti perokok, penghidap diabetes, hipertensi atau hiperkolesterolemia (kolesterol tinggi dalam darah) juga dinasihatkan melakukan pemeriksaan berkenaan.

Hakikatnya, kejadian jantung berhenti berdegup akan menyerang atlet secara tiba-tiba dan malangnya, mereka tidak ada simptom amaran bila serangan itu akan berlaku.

Pakar Perunding Pusat Perubatan Sunway, Dr Ooh Ping Yee berkongsi beberapa langkah bagaimana untuk menyelamatkan nyawa seseorang pesakit yang diserang jatung terhenti secara tiba-tiba.

Beliau berkata usaha menyelamat termasuk: 1) segera bantu mengaktifkan sistem kecemasan perubatan 2) memberikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR) oleh responder pertama dalam masa kurang daripada dua minit, 3) defibrilasi awal (dalam dua hingga empat minit) defibrillator luaran (AED), 4) bantuan awal sokongan hidup lanjutan (kurang daripada lapan minit) dan 5) sokongan hayat lanjutan.

"Empat langkah pertama mesti dilakukan secepat mungkin untuk menyelamatkan mangsa.

"CPR dan penggunaan AED harus diteruskan sehingga pesakit sedar atau dapat menerima rawatan daripada pakar perubatan,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS