Gara-gara menerbitkan bahan berunsur lucah atau yang boleh mengancam ketenteraman awam, 565 syarikat penerbitan telah diberikan amaran dan surat tunjuk sebab oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Fu Ah Kiow berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) serta Akta Keselamatan Dalam negeri 1980.

"Kita tidak mahu dikatakan tidak peka dengan kebimbangan rakyat tentang bahan berunsur lucah dan boleh menggugat ketenteraman awam dijual di pasaran," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Markiman Kobiran (BN-Hulu Langat) mengenai penjualan bahan lucah secara berleluasa tanpa kawalan di tempat awam.

Fu berkata kementerian itu sentiasa memantau syarikat penerbitan bagi memastikan setiap keluaran mereka tidak melanggar undang-undang.

"Tindakan itu perlu bagi mengingatkan kepada penerbit berkenaan agar tidak membelakangi undang-undang dan sensitiviti masyarakat di negara ini terhadap bahan yang diterbitkan," katanya.

Fu berkata surat tunjuk sebab dan amaran hanya diberikan kepada penerbit jika nasihat dan amaran kementerian itu tidak diendahkan.

Menurut laporan Bernama, kerajaan akan bertindak menggantung atau membatalkan permit syarikat penerbitan yang tidak mengendahkan amaran yang dikeluarkan.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mengamalkan dasar terbuka bagi menjamin kebebasan industri percetakan di negara ini sejajar dengan prinsip demokrasi.

"Bagaimanapun, kebebasan itu tidak bermakna penerbit boleh menyiarkan bahan sensitif termasuk yang berunsur lucah," kata Fu.