Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli PKR lapor polis dakwaan k'jaan BN beri AS$1j pada Tamil Sri Lanka

Seorang ahli PKR hari ini tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan kerajaan BN memberi sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada masyarakat Tamil Sri Lanka pada tahun 2012.

Bekas ketua cabang PKR Puchong, S Murali membuat laporan tersebut susulan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata bahawa Putrajaya masih belum mendapat bukti jelas berhubung dana tersebut.

"Saya buat laporan selepas Tun (Dr Mahathir) meminta buat laporan polis jika ada pihak mempunyai bukti berhubung derma tersebut.

"Saya pernah membuat laporan polis pada tahun 2013 selepas terdapat keraguan dan mengesyaki berhubung bagaimana sumbangan tersebut dibelanjakan. Hari ini saya membuat laporan lagi atas permintaan perdana menteri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, turut meminta polis menyiasat bagaimana sumbangan tersebut disalurkan melalui sebuah NGO tempatan dikenali sebagai Tamil Forum Malaysia.

"Isu ini tidak perlu bukti, sebab ia mendapat liputan luas media pada masa itu. Jadi, saya harap polis akan siasat selepas tanpa melengahkan masa lagi kerana ia kini diminta oleh perdana menteri sendiri," tambahnya.

Terdahulu, pagi tadi Dr Mahathir memberitahu Dewan Rakyat bahawa Putrajaya masih tidak mempunyai bukti jelas.

"Saya mengalu-alukan sekiranya ada yang berhormat atau mana-mana pihak ada bukti berkaitan dakwaan kerajaan terdahulu memberikan sumbangan AS$1 juta kepada Tamil Sri Lanka.

"Kita minta supaya ia buat laporan polis supaya tindakan dapat diambil," katanya menjawab pertanyaan ahli parlimen Sungai Siput yang minta menjelaskan tindakan diambil oleh Putrajaya berhubung dakwaan sumbangan oleh kerajaan BN.

Untuk rekod, isu dakwaan sumbangan AS$1 juta kepada mangsa peperangan di Sri Lanka muncul kembali susulan tindakan pihak polis tahan 12 warga Malaysia termasuk dua Adun DAP yang didakwa menyokong kumpulan militan Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Lihat Komen
ADS