Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari ke-60: Raja Abdullah derma untuk elak Arab Spring jejas Malaysia - Najib

KES SRC NAJIB | Perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-60 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


5.20 petang: Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami hari ini.

Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemas kini media sosial oleh Ewe Linq Yenn.

Jika anda suka hasil kerja kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini versi Inggeris serendah RM0.55 sehari.

Butiran di sini.


Perbicaraan ditangguhkan, disambung minggu depan

3.50 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan disambung semula pada Isnin depan.

Permohonan itu dibuat oleh peguam Najib, Rahmat Hazlan.


Najib terkejut AmBank berurusan dengan Jho Low

3.47 petang: Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau terkejut apabila mengetahui bahawa AmBank telah berurusan Jho Low berhubung perkara-perkara yang berkaitan dengan akaun banknya.

Najib juga memberi keterangan bahawa dia tidak pernah tahu bahawa Nik Faisal Ariff Kamil, yang diamanahkan untuk menguruskan akaunnya, telah mengambil arahan daripada Jho Low berhubung transaksi untuk memulangkan sumbangan daripada keluarga diraja Saudi kepada Tanore Finance Corp.

Najib berkata demikian apabila menjawab soalan yang disediakan peguamnya, Rahmat Hazlan.


Saya kembalikan baki derma AS$620 juta untuk elak dipolitikkan - Najib

3.30 petang: Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau telah mengembalikan baki sumbangan yang tidak digunakan sebanyak AS$620 juta kerana mahu mengelakkan perkara itu dipolitikkan.

Tertuduh mengatakan perkara itu sambil membaca kenyataan kesaksian berhubung pertanyaan sama ada beliau menggunakan sepenuhnya wang yang diterima dalam akaun 694 AmBank miliknya pada 2013.

"Saya juga merasa tidak selesa apabila ada wang yang banyak dalam akaun saya kerana bimbang jika maklumat itu dibocorkan, ia pastinya diputar belit dari konteks politik.

"Saya kemudian memutuskan untuk mengembalikan hampir keseluruhan jumlah sumbangan yang tidak dibelanjakan dan hanya menyimpan sebahagian daripadanya.

"Saya percaya bahawa dengan mengembalikan sebahagian besar sumbangan yang tidak digunakan adalah tanda niat baik kepada keluarga diraja Saudi, yang akan diambil kira oleh mereka dalam memberikan sokongan masa depan kepada saya.

"Akhirnya, sekitar AS$620 juta dikembalikan kepada penghantar dana, Tanore Finance Corp, dan selebihnya RM162 juta telah dipindahkan ke salah satu akaun baru yang dibuka oleh saya pada Ogos 2013," kata Najib.


Najib: Raja Abdullah derma untuk elak Malaysia terjejas Arab Spring

3.17 petang: Najib Razak memberi keterangan bahawa Raja Abdullah mendermakan AS$680 juta kepadanya untuk mengelakkan kesan dari Arab Spring yang menggoncang Timur Tengah.

Najib mengatakan perkara itu ketika membaca dari kenyataan saksi berhubung soalan sama ada beliau tahu tentang transaksi AS$680,999,976 antara 22 Mac 2013 dan 10 April 2013 ke dalam akaun 694 AmBank miliknya.

Najib berkata beliau hanya mengetahui tentang transaksi itu apabila kenyataannya direkodkan oleh SPRM dan selepas peguamnya memperoleh dokumen dari AmBank.

Tertuduh mendakwa bahawa beliau bukan hanya diberitahu bahawa ada wang yang masuk ke dalam akaunnya dari luar negara tetapi dia telah ditunjukkan surat bertarikh 1 March 2013, yang dikatakan dari wakil Raja Abdullah.

Najib berkata surat tersebut menyatakan bahawa Raja Abdullah memberi hadiah wang tunai untuk dibelanjakan atas budi bicara mutlaknya.

"Raja Abdullah tahu tentang pilihan raya umum pada tahun 2013. Baginda tidak mahu kesan negatif dari Arab Spring tersebar ke Malaysia, terutama kerana beliau mempunyai pandangan positif terhadap Malaysia untuk muncul sebagai contoh yang menyerlah untuk sebuah negara yang mengamalkan Islam yang sebenarnya.

"Raja Abdullah berhasrat untuk Malaysia menjadi peneraju bagi negara moden yang mengamalkan Islam," kata Najib, sambil menambah bahawa Raja Abdullah takut akan kesan domino dari Arab Spring boleh menjejaskan Malaysia.


Najib: Saya tak tahu pasal komunikasi BBM Joanna Yu dan Jho Low

2.39 petang: Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau tidak maklum berhubung komunikasi melalui mesej Blackberry (BBM) antara pengurus AmBank, Joanna Yu dan ahli perniagaan Jho Low antara tahun 2011 dan 2013.

"Tidak. Saya tidak tahu tentang perkara ini. Seperti yang saya katakan tentang apa yang saya percaya, Jho Low adalah individu yang menguruskan sumbangan yang diberikan kepada saya oleh keluarga diraja Saudi.

"Azlin (ketua setiausaha sulit Najib ketika itu) mungkin berurusan dengan Jho Low berhubung derma itu. Saya tidak tahu tentang komunikasi antara Jho Low dan Joanna Yu pada masa itu," kata Najib.

Joanna Yu.

Najib menambah bahawa beliau tidak dapat menjelaskan bagaimana bank dapat berkomunikasi dengan seseorang yang tidak diberi kuasa olehnya berhubung dengan akaun banknya.

Mahkamah sebelum ini mendengar bahawa Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil merupakan pegawai yang diberi kuasa untuk akaun Najib.


Najib: Saya tak tahu ketika itu Nik Faisal adalah rakan Jho Low

2.33 petang: Najib memberi keterangan bahawa dia tidak tahu bahawa Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil adalah rakan Jho Low.

Beliau berkata demikian semasa membaca jawapan daripada kenyataan kesaksiannya untuk menjawab soalan sama ada tertuduh tahu bahawa Nik Faisal adalah rakan rapat Jho Low sejak tahun 2008 di UBG Bhd.

Nik Faisal didakwa mengenali Jho Low ketika bekerja di UBG Bhd pada 2008.

"Tidak pada masa itu, saya hanya tahu mengenainya selepas membaca tentangnya di akhbar," kata Najib semasa pemeriksaan utama oleh peguam bela Rahmat Hazlan di peringkat pembelaan.


2.28 petang: Prosiding disambung.


12.57 tengah hari: Prosiding ditangguhkan untuk rehat makan tengah hari, dan akan disambung pada petang ini.


Najib nafi beri kuasa pada Jho Low untuk berurusan dengan Ambank

12.38 tengah hari: Najib mengatakan dia tidak pernah berurusan dengan pengurus hubungan Ambank secara peribadi

Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah berurusan dengan pengurus Ambank Joanna Yu, Daniel Lee dan Krystal Yap, ataupun berkomunikasi dengan mereka secara peribadi.

Untuk rekod, Yu, Lee dan Yap terlibat dalam menguruskan akaun Najib dengan Ambank.

Najib juga menafikan bahawa beliau pernah memberikan sebarang kuasa kepada Jho Low untuk berurusan dengan Ambank berhubung akaunnya yang berakhir dengan digit 694.


Najib: Jho Low yang beritahu tentang sumbangan keluarga diraja Arab Saudi

12.11 tengah hari: Najib memberi keterangan bahawa Jho Low memaklumkannya pada 2010 bahawa Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, bersetuju untuk memberikan sumbangan antara AS$ 100 juta hingga AS$200 juta kepada bekas perdana menteri itu, sebagai satu bentuk sokongan.

Semasa membaca dari kenyataan kesaksiannya, Najib mengatakan bahawa pada masa itu, beliau tidak dimaklumkan secara spesifik jumlah yang akan disumbang dan bila ia akan disumbangkan.

Namun, kata Najib, Jho Low kemudian memberitahu perincian berhubung derma berkenaan.

"Selepas itu antara 2011 dan 2014, saya menerima sejumlah besar wang yang saya percaya adalah sumbangan dari Raja Abdullah sebagai tanda sokongan darinya.

"Jho Low adalah penghubung dalam perkara ini dan saya percaya bahawa dia mengatur peruntukan sumbangan dari keluarga diraja Arab Saudi.

"Beberapa surat mengenai sumbangan ini juga diterima oleh AmBank dan saya sendiri yang dikirim Jho Low pada masa itu selari dengan sumbangan," kata Najib.

Najib berkata jumlah yang didermakan mungkin kelihatan besar tetapi menurutnya keluarga diraja Arab Saudi terkenal dengan kemurahan hati mereka, termasuk menyumbang kepada pelbagai yayasan di AS seperti Yayasan Clinton.

Najib juga berkata sumbangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada dasar luar negera dan dasar diplomatik.


Najib: Husni tak puas hati saya pindahkan dia dari MOF

Mahkamah mendengar dari bekas menteri kewangan Najib Razak bahawa bekas menteri kewangan kedua, Husni Hanadzlah mungkin tidak puas hati terhadapnya susulan keputusan memindahkannya ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2016.

Najib kemudiannya mendakwa bahawa Husni menggunakan mahkamah untuk membalas dendam terhadapnya.

"Saya percaya bahawa Husni telah menyimpan rasa tidak puas hati terhadap saya atas keputusan saya untuk memindahkannya dari MOF (Kementerian Kewangan) ke EPU, kerana dia langsung meletak jawatan selepas itu pada 2016.

"Dan dia telah menggunakan kandang saksi sebagai pentas untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya secara terbuka," kata Najib.

Bekas perdana menteri itu juga mendakwa bahawa keterangan Husni yang mendakwa dia diperlakukan seperti "budak pejabat" oleh Najib bercanggah dengan hasrat Husni untuk kekal di MOF.

"Jika Husni benar-benar merasakan bahawa dia diperlakukan sebagai budak pejabat, pastinya sangat aneh bahawa dia mahu kekal di MOF.

"Ini menunjukkan percanggahan antara apa yang dikatakannya di dalam kandang saksi dan pengalaman sebenarnya," katanya.


Najib: Husni berniat cemarkan imej saya


11.45 pagi: Perbicaraan diteruskan dengan peguam bela Najib menyentuh persoalan mengenai kesaksian bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah.

Husni sebelum ini memberi keterangan terhadap Najib.

Najib mendakwa bahawa keterangan Husni - yang mengatakan bahawa Najib telah menghalangnya ke Switzerland untuk memeriksa akaun bank SRC International - telah diambil dari luar kontek.

Untuk rekod, akaun bank SRC di Switzerland telah dibekukan oleh pihak berkuasa negara itu atas dakwaan kesalahan pengubahan wang haram.

Ahmad Husni Hanadzlah.

"Saya percaya perkara ini telah diambil dari luar konteks. Husni ada bertanya kepada saya secara tidak formal sama ada dia perlu pergi ke Switzerland untuk menyelesaikan masalah ini. Pertanyaa itu bukan secara rasmi atau permintaan rasmi.

"Dia sebenarnya mengatakan bahawa dia boleh cuba menyelesaikan masalah ini kerana dia tahu beberapa individu di Switzerland yang boleh membantu. Saya mengatakan kepadanya bahawa tidak perlu dia pergi ke sana kerana dari pemahaman saya, sudah ada usaha oleh SRC untuk menangani masalah itu," kata Najib.

Najib menambah bahawa Husni merupakan individu yang meluluskan Nota Perbendaharaan pada 2015 yang meminta kabinet untuk meluluskan pinjaman jangka pendek untuk SRC, agar syarikat itu dapat menyelesaikan masalah mereka dengan pihak berkuasa Switzerland.

Najib kemudian menuduh Husni telah memberikan keterangan sedemikian terhadapnya dengan hasrat untuk mencemarkan imejnya dan menafikan beberapa kesilapan yang dilakukan Husni terhadapnya.


Najib nafi arah Menteri Kewangan kedua tak terlibat dalam 1MDB

11.42 pagi: Mahkamah diberitahu bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak menafikan pernah mengarahkan Menteri Kewangan Kedua Ahmad Husni Hanadzlah agar tidak terlibat dalam 1MDB.

Dalam kenyataan saksinya, bekas menteri kewangan itu berkata demikian berhubung keterangan terdahulu Husni semasa perbicaraan bahawa tertuduh memberikan arahan itu.

"Saya tidak pernah memberitahu Husni begitu. Dokumen-dokumen di dalam perbicaraan ini berhubung dengan SRC jelas menunjukkan bahawa Husni dirujuk dan juga meluluskan beberapa memo penting selaku MOF2 (Menteri Kewangan Kedua), yang termasuk Memo Kementerian Kewangan bertarikh 2 Feb 2012 (Nombor eksibit D526) dan Memo Perbendaharaan bertarikh 4 Nov 4 2015, berhubung peruntukan untuk pinjaman jangka pendek kepada SRC pada tahun 2015 (Nombor eksibit D551).

"Tuduhan Husni bahawa beliau dianggap "budak pejabat "adalah jenaka berdasarkan tandatangannya sebagai MOF2 yang menunjukkan sebaliknya.

"Husni juga menghadiri mesyuarat kabinet pada 8 Feb 2012, di mana jaminan kerajaan kedua (berhubung pinjaman KWAP sebanyak RM2 bilion kepada SRC) diluluskan dan (Husni) tidak membangkitkan sebarang isu," kata Najib.


11.34 pagi: Prosiding disambung semula.


11 pagi: Prosiding berhenti rehat seketika.


Najib dakwa tak tahu transaksi RM123 juta dari SRC ke akaun IPSB

10.57 pagi: Peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohamed bertanya Najib mengenai 14 transaksi bank antara 2014 dan 2015, yang menyaksikan sejumlah RM123 juta dipindahkan dari SRC International kepada rakan kongsi tanggungjawab sosial korporatnya, Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Wang itu dipindahkan dalam 14 transaksi.

Najib kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengetahui urus niaga itu pada masa yang disebutkan.


Najib pertikai keterangan Suboh Md Yassin

10.48 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak menafikan campur tangan dalam keputusan melantik Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) sebagai rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk SRC International dan peruntukan sebanyak RM250 juta disalurkan kepada IPSB.

Beliau juga mempertikaikan keterangan bekas pengarah SRC Suboh Md Yassin, di mana Suboh mendakwa CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil telah memberitahunya keputusan itu dibuat oleh Najib walaupun tanpa kelulusan lembaga pengarah SRC.

"Ini sesuatu yang benar-benar sukar untuk dipercayai. Suboh adalah salah seorang pengarah SRC yang pasti tahu mengenai prosedur tadbir urus korporatnya.

"Bagaimana dia boleh abaikan ini berdasarkan hanya mendengar dari Nik Faisal.

"Saya tidak pernah dimaklumkan mengenai pelantikan IPSB atau peruntukan RM250 juta (kepada IPSB)."

Najib berkata beliau juga tidak dapat memahami bagaimana dua pengarah SRC (Suboh dan Nik Faisal) boleh menandatangani peruntukan RM250 juta tanpa kelulusan daripada lembaga pengarah.

Menurut Najib, Nik Faisal bukan lagi CEO SRC apabila dokumen itu ditandatangani pada September 2014.


Najib tolak dakwaan ada kuasa lantik, pecat pengarah SRC

10.37 pagi: Najib Razak menolak dakwaan bahawa beliau mempunyai kuasa untuk melantik dan memecat mana-mana pengarah SRC International.

Bekas menteri kewangan itu berkata demikian berhubung dakwaan bekas pengerusi SRC, Ismee Ismail dan bekas pengarahnya, Suboh Md Yassin, bahawa tertuduh mempunyai kuasa sedemikian.

"Perkara ini tidak masuk akal. Kuasa untuk lantik atau memecat mana-mana pengarah biasanya di tangan pemegang saham syarikat.

"Seperti yang saya faham mengenai prinsip tadbir urus korporat, ini tidak mengambil alih kewajipan perundangan dan berkanun pengarah untuk bertindak demi kepentingan syarikat".

Beliau merujuk kepada keterangan Ismee dan Suboh semasa peringkat pendakwaan.

Najib nafi kawal lembaga SRC

10.24 pagi: Najib Razak menafikan dirinya mendesak kemasukan Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M & A) SRC International supaya bekas perdana menteri itu dapat menguasai lembaga pengarah syarikat itu.

Bekas menteri kewangan itu berkata demikian semasa membacakan kenyataan saksinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di mana soalan dalam kenyataan itu adalah sama ada beliau pernah mencadangkan atau menggesa pindaan M & A SRC.

Terdahulu, mahkamah mendengar bahawa Artikel 117 mewajibkan lembaga SRC mempertimbangkan nasihat Najib, sebagai penasihat emeritus kepada SRC, mengenai perkara-perkara penting dan strategik, antara lainnya.

"Tidak. Pemahaman saya adalah bahawa nasihat oleh penasihat emeritus adalah terhad kepada perkara-perkara yang dibincangkan di bawah Artikel 117 dan bukan untuk operasi SRC dan perkara-perkara lain. Walau apa pun, sebarang nasihat yang diberikan hanya dipertimbangkan oleh lembaga.

"Lembaga tidak terikat untuk mengikuti nasihat dan perlu bertindak demi kepentingan syarikat seperti yang dinyatakan dalam surat saya (P512) (ini merujuk kepada eksibit mahkamah)," kata Najib.

Bekas perdana menteri itu juga menambah bahawa dia tidak melihat Artikel 117 membolehkannya untuk mengawal SRC.


Najib kesejukan

10.08 pagi: Peguam Wan Aizuddin Wan Mohamed menghentikan seketika pemeriksaan utama terhadap Najib Razak yang memberi keterangan dalam pembelaannya dari kandang saksi.

Apabila peguam itu hendak meneruskan soalan ke-130 dalam kenyataan saksi Najib, dia melihat kepada bekas perdana menteri itu dan bertanya keadaannya.

Ahli politik itu kemudian didengar berkata: "Sejuk" sambil melakukan isyarat memeluk tubuh.

Prosiding kemudian diteruskan.


Najib tak pernah dimaklumkan mengenai pelan pelaburan SRC secara khusus

10.07 pagi: Najib Razak berkata beliau tahu Panel Pelaburan KWAP telah bersetuju untuk meluluskan permohonan oleh SRC International untuk mendapatkan pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion yang disalurkan pada satu masa.

Ketika memberi keterangan membela dirinya, bekas perdana menteri itu berkata dari pemahamannya, SRC telah memberikan alasan yang diperlukan mengapa mereka memerlukan dana yang dikeluarkan dengan cepat.

"Saya tidak dimaklumkan mengenai pelaburan secara khusus," katanya.


'Saya tulis surat untuk lantik timbalan setiausaha Perbendaharaan sebagai penasihat SRC'

10.05 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa beliau telah menulis surat pelantikan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Md Nor Nawi sebagai penasihat kepada SRC International.

Menurut keterangannya, Najib menulis surat itu berikutan keputusan yang dibuat dalam satu mesyuarat pada bulan Mac 2012 di antara ketua setiausaha Perbendaharaan, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Timbalannya, Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif  KWAP, Azian Mohd Noh, di mana mereka mencadangkan pelantikan Md Nor.

Wan Abdul Aziz, Irwan dan Azian mengadakan mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri untuk membincangkan permohonan SRC International bagi membolehkannya membiayai pinjaman RM2 bilion daripada KWAP pada satu masa dan bukannya perjanjian terlebih dahulu untuk disalurkan secara berperingkat.

"Saya masih ingat mengeluarkan surat untuk melaksanakan pelantikan (Md Nor), tetapi saya tidak ingat bila," kata Najib.


Kabinet bukan 'rubber stamp': Najib

9.43 pagi: Kabinet bukan semata-mata 'rubber stamp' berhubung kelulusan dua jaminan kerajaan secara berasingan berjumlah RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk SRC International, kata bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Semasa membaca kenyataan saksinya, bekas menteri kewangan itu berkata demikian merujuk mesyuarat jemaah menteri pada 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Dalam kedua-dua mesyuarat kabinet itu, mereka didakwa memberi lampu hijau terhadap jaminan kerajaan kerana 'terikat' untuk berbuat demikian memandangkan SRC diberi tumpuan khusus oleh Najib selaku perdana menteri pada masa itu.

"Ini bukan cara kerajaan beroperasi. Untuk menunjukkan bahawa kabinet merupakan rubber stamp pasti akan menjadi satu penghinaan kepada anggota pentadbiran kerajaan.

"Mesyuarat kabinet ditandakan sebagai" Rahsia "(Confidential) bagi maksud membolehkan setiap ahli kabinet untuk bercakap dengan bebas untuk kepentingan kementerian dan kerajaan secara keseluruhannya.

"Saya tidak percaya bahawa mana-mana anggota kabinet akan menghindari tugas awam mereka dengan tidak memberikan sebarang pandangan yang bertentangan.

"Ia adalah perkara biasa bagi menteri-menteri dalam kabinet untuk menyuarakan perbezaan pendapat mereka dengan apa-apa cadangan oleh perdana menteri atau mana-mana menteri lain memandangkan ini menjadi tujuan perbincangan kabinet, "kata Najib.


'Keputusan berkaitan syarikat-syarikat MoF Inc dibuat untuk kepentingan M'sia'

9.40 pagi: Mahkamah diberitahu oleh bekas perdana menteri Najib Razak bahawa tidak ada menteri kewangan di negara itu yang tidak menyertai perbincangan mengenai syarikat-syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Najib, yang juga bekas menteri kewangan, memberitahu mahkamah bahawa "tidak masuk akal" untuk menyatakan bahawa seorang menteri kewangan harus melepaskan diri mereka daripada perbincangan tersebut yang mana mereka terlibat secara profesional.

"Satu-satunya kepentingan saya adalah untuk memastikan semua keputusan yang berkaitan dengan syarikat-syarikat MoF Inc dibuat demi kepentingan Malaysia," kata Najib.

"Saya mahu menambah bahawa seorang menteri kewangan tidak pernah mengecualikan dirinya dari mesyuarat mengenai syarikat-syarikat MoF Inc kerana jika mereka tidak, tiada siapa yang akan berada di sana untuk mempertahankan cadangan yang dibentangkan (dalam mesyuarat itu).

"Ia juga tidak masuk akal untuk mencadangkan bahawa seorang menteri kewangan harus melepaskan dirinya sendiri (dari mesyuarat) atas kepentingan profesionalnya," katanya.

Semasa perbicaraan terdahulu, mahkamah mendengar dari saksi pendakwaan bahawa Najib berada dalam mesyuarat kabinet ketika cadangan untuk jaminan kerajaan kepada SRC International dibentangkan dalam mesyuarat oleh menteri persekutuan.

Selaku menteri kewangan, Najib juga bertanggungjawab terhadap MoF Inc, yang merupakan pemegang saham SRC International.


Najib: Saya tak sembunyikan apa-apa

9.22 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak menafikan beliau menyembunyikan pemindahan dana SRC International kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (Mof Inc) daripada menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah.

Najib selaku tertuduh memberikan keterangan demikian ketika membacakan keterangan saksinya.

"Apa yang dia (Husni) sebut dalam mahkamah adalah dalam hal implikasi D524 (Memo yang dikaitkan dengan pemindahan SRC International dari 1MDB) yang sengaja disembunyikan daripadanya oleh saya. 

Saya boleh kata dengan yakin bahawa ia tidak disembunyikan dan saya tidak pernah mengarahkan sesiapa sahaja untuk menyembunyikan daripadanya.

"Ia bergantung kepada (ketika itu Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan) Mat Noor Nawi untuk memberitahu dia terlebih dahulu mengikut protokol," kata Najib.


Prosiding bermula, Najib memasuki kandang saksi

9.14 pagi: Najib Razak memasuki kandang saksi apabila prosiding bermula.

Bekas perdana menteri mengangkat sumpah sebelum menyambung semula kenyataan saksi semasa pemeriksaan utama yang dilakukan oleh peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Najib memasuki mahkamah, duduk di barisan depan galeri awam

8.58 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam sambil menunggu prosiding bermula.

Juga dilihat di mahkamah ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan ahli-ahli pasukan pendakwaan yang lain, serta anggota pasukan pembelaan bekas perdana menteri.

Lihat Komen
ADS