Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Umno akan menggunakan pendekatan bil hikmah (bijaksana) semasa mendekati pelajar - terutama dalam kalangan pemimpin mereka - dalam usaha mendekatkan mereka kepada parti itu.

Presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno sudah merangka pelan untuk melaksanakan langkah tersebut di seluruh negara.

Tujuannya, kata ahli parlimen Bagan Datuk itu, adalah untuk menarik sokongan pelajar kepada BN.

"Kita akan pergi ke sekolah-sekolah, di sana kita akan akan mengambil beberapa tindakan untuk mendekati terutama pemimpin pelajar di seluruh negara.

"Saya amat berharap agar mereka didekati dengan kaedah bil hikmah," katanya semasa majlis makan tengah hari bersama Pemuda Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2019, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini.

Dewan Rakyat baru-baru ini meluluskan rang undang-undang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan umur minimum untuk mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Asalnya hanya warga Malaysia yang berusia sekurang-kurangnya 21 tahun dan mendaftar di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengundi dalam mana-mana pilihan raya di negara ini.

Boleh mengundi mulai 2021

Dalam undian yang dijalankan pada pada 16 Julai itu, usul berkenaan mendapat sokongan 211 anggota parlimen. Tiada ahli parlimen mengundi untuk menolak atau bersikap berkecuali.

Ia adalah pindaan pertama perlembagaan sejak pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Menurunkan usia minimum mengundi kepada 18 tahun adalah satu daripada janji PH dalam manifesto mereka menjelang pilihan raya umum tahun lalu.

Sebelum ia diluluskan seramai 59 anggota parlimen mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang tersebut sepanjang tempoh lima jam.

Ahmad Zahid berkata mengikut SPR warganegara berusia 18 tahun boleh mula mengundi seawal 2021.

Justeru, kata bekas timbalan perdana menteri itu, beliau berharap semua pihak termasuk Pemuda dan Puteri Umno untuk menjayakan rancangan tersebut.

Malah mengikut Ahmad Zahid, beliau berharap pelajar terbabit dapat dilibatkan lebih daripada sekadar mengundi BN.

"Kita amat berharap Pemuda Umno dan Puteri ganding bahu untuk menarik mereka (pelajar), bukan saja bersama2 dengan kita (mengundi) tetapi menjadi jentera untuk BN dalam PRU ke-15," katanya.

Lihat Komen
ADS