Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Waytha pesan MP jangan besarkan isu abu Chin Peng

Bagi memenuhi semangat Malaysia, lebih baik jangan besarkan isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata demikian bagi mengulas isu yang terjadi semalam di Dewan Rakyat berkenaan abu itu sehingga membawa kepada penggantungan dua anggota parlimen Khoo Poay Teong (PH-Kota Melaka) dan Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).

“Dia (Tajudin) tarik balik dan saya tak baca dan tidak mempunyai maklumat benar, saya juga tak tahu punca utama beliau digantung.

“Jika dia (Tajudin) sudah tarik balik, saya rasa bagi memenuhi semangat Malaysia, kita biarkan saja. Kadang-kadang orang terlepas cakap kerana terlampau teruja terutama di parlimen.

“[...] mereka jadi teruja kerana satu Malaysia sedang lihat (sidang dewan rakyat),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dewan Rakyat semalam kecoh berhubung kenyataan Tajudin yang menyamakan tanda putih di dahi RSN Rayer (PH-Jelutong) dengan abu mayat Chin Peng.

Insiden itu bermula ketika sesi soal jawab, yang bermula Rayer dengan pertikaian antara dan Azeez Abdul Rahim (BN-Baling).

Ketika Rayer mahu meneruskan soalannya, Tajuddin yang ketawa dan menepuk dahinya, berkata:

"Tumpang tanya, itu abu Chin Peng ke? Saya tak mahu Jelutong dituduh pakai abu Chin Peng dekat dahi."

Untuk rekod, tanda putih yang sering dilihat pada dahi Rayer dikenali sebagai 'Vibhuti', iaitu satu simbol suci dalam agama Hindu.

Rayer menuntut Tajuddin menarik balik kenyataan itu yang disifatkan menghina penganut Hindu di Malaysia.

Tajuddin kemudian berkata, "Okaylah, tarik balik. Apa ada masalah?"

Namun, pertengkaran berterusan dengan anggota parlimen BN mendakwa Rayer menuduh BN menghina agama Hindu.

Akhirnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof bertindak meredakan pertikaian dengan memerintahkan semua anggota parlimen untuk duduk namun diingkari oleh Khoo dan Tajudin.

"Kota Melaka (Khoo), Pasir Salak (Tajudin), sila tinggalkan dewan kerana tidak mengikut arahan Speaker," katanya.

Khoo tampak berat hati untuk keluar, dan berkata, "Saya ingin katakan ini bukan caranya untuk mengawal Dewan."

Tajuddin pula menyindir arahan itu apabila mengucapkan terima kasih kepada Mohd Ariff.

Sementara itu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi menasihati anggota parlimen khususnya pembangkang untuk tidak lagi memainkan isu agama.

“Saya harap mana-mana pihak menerima permohonan maaf itu dengan hati yang terbuka dan lapang dada.

“Saya harap isu ini sudah selesai dan saya harap pembangkang terutama BN jangan main lagi isu sensitif agama dan hormat semua agama,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, Tajudin dilihat cuma menarik balik kenyataannya namun tidak memohon maaf.

Lihat Komen
ADS