Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Perhimpunan Agung Umno 2019 secara rasminya telah membuka tirai malam tadi dengan perasmian tiga sayap parti serentak iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Masih mengekalkan tema "Umno perjuangan" persidangan tahun kedua selepas Umno bergelar pembangkang itu dilihat mendapat sedikit suntikan selepas BN memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Ia pastinya sedikit sebanyak menimbulkan "keghairahan" dalam kalangan perwakilan untuk menghadiri persidangan tahunan itu bagi membawa kembali Umno kepada landasan asas perjuangannya.

Persidangan Umno kali ke-73 berlangsung dalam suasana Umno BN tidak lagi berada di tampuk pentadbiran negara. Bagaimanapun Umno masih lagi menjadi suara orang Melayu, berdasarkan kepada peratusan pengundi yang memilih parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Walaupun kini Umno berada di kerusi pembangkang, mereka tidak boleh merasakan bahawa peranan parti itu tidak penting lagi.

Sebaliknya Umno perlu menjadi pembangkang yang berkesan dengan pengalaman yang ada kerana majoriti orang Melayu yang juga kaum dominan di Malaysia masih bersama mereka.

Umno yang suatu masa dulu merupakan parti dominan BN bersama puluhan rakan komponennya, kini hanya tinggal dua rakan sekutunya yang setia iaitu MCA dan MIC serta membina kekuatan bersama rakan barunya, PAS.

Kemenangan BN dalam empat siri PRK iaitu Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai memberi isyarat bahawa rakyat sudah kembali meletakkan kepercayaan kepada Umno khususnya selepas PRU-14.

Umno tidak boleh terlalu selesa dengan sokongan itu, sebaliknya Umno perlu membersihkan parti itu daripada imej negatif ekoran pemimpinnya didakwa terpalit dengan salah laku dan penyelewengan sehingga merosakkan imej parti itu.

Umno perlu menunjukkan perubahan dalam erti kata yang sebenarnya dan berupaya membuktikan kepada rakyat bahawa mereka benar-benar telah berubah.

Parti dominan orang Melayu, bumiputera itu tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan dalam empat PRK lalu, Umno tidak boleh mengharapkan kemarahan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai senjata untuk menumbangkan kerajaan.

Sepatutnya, Umno perlu membuat tawaran baru bahawa mereka adalah parti alternatif kepada rakyat untuk memimpin negara ke arah lebih baik dan kejatuhan BN boleh dijadikan kayu ukur kepada rakyat untuk membandingkan kejayaan BN dan PH.

Masa depan Umno kini terletak di tangan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi. Bekas timbalan perdana menteri itu yang mengambil alih tampuk pentadbiran Umno daripada Najib Razak perlu menunjukkan keupayaan untuk mengemudi bahtera Umno bagi meraih kembali sokongan rakyat.

Zahid perlu meletakkan hala tuju yang jelas kepada perjuangan Umno di era baru ketika BN bergelar pembangkang, kepimpinan Zahid tidak boleh lagi dibayangi oleh pemimpin lama.

Cabaran besar buat Zahid untuk merapatkan kembali saf kepimpinan Umno yang bergolak selepas kekalahan BN khususnya pada pemilihan parti itu tahun lalu.

Zahid perlu tegas menangani 'wakil rakyatnya yang buas' yang secara diam-diam merencana kerajaan pintu belakang tanpa restu Umno.

"Kedai dalam kedai" tidak sepatutnya wujud dalam situasi Umno hari ini kerana ia akan melemahkan Umno. 'Pasukan Tok Mat' (Mohamad Hassan), 'pasukan Hishammuddin Hussein' perlu berada dalam satu saf iaitu 'pasukan Umno'.

Tema Umno sebuah perjuangan perlu diterjemahkan dalam erti kata sebenarnya untuk kembalikan roh perjuangan parti itu demi rakyat dan agama.

Umno perjuangan perlu dihayati dan sampai ke akar umbi untuk difahami supaya rakyat dapat merasai kewujudan Umno sebagai wadah yang mampu

Kesilapan lalu tidak perlu berulang lagi, kesilapan lampau Umno perlu diakui dan kemudiannya disusuli dengan perubahan, Umno perlu lebih inklusif dan berani menerima teguran dan kritikan perwakilan.

Sikap ego Umno sebelum ini yang tidak boleh menerima kiritikan perlu dibuang, sebaliknya Umno perlu bersikap terbuka menerima kritikan akar umbi supaya dapat muhasabah dan membetulkan kelemahannya, kritikan adalah kekuatan kepada parti.


HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS