Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

WAWANCARA| Perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 bebas untuk melontarkan kritikan, namun dilarang sama sekali menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, berkata ketetapan sebegitu penting bagi memastikan perwakilan dapat berbahas secara berfakta dan tidak beremosi sehingga menyentuh perkara sensitif.

"Mereka bebas (mengkritik), kita tak nak (perwakilan) terlalu emosi tentang kaum sehingga menyentuh kaum lain ataupun sensitiviti agama.

"Sebab kita juga, misalnya, ada ketua bahagian Umno di Sabah yang juga seorang paderi. Sebab itu kita ada garis panduan walaupun bebas mengkritik.

"Nak kritik pemimpin boleh, tapi jangan serang peribadi, jangan serang kaum lain," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

PAU 2019 berlangsung selama empat hari bermula semalam dan bakal berakhir pada Sabtu nanti.

Masih mengekalkan tema "Umno Sebuah Perjuangan", perhimpunan kali ini berlangsung untuk tahun kedua Umno bergelar pembangkang selepas BN ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Seramai 5,600 perwakilan dari seluruh negara dijangk hadir memeriahkan persidangan tahunan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu.

Perhimpunan agung kali ini juga berlangsung selepas BN meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, mood PAU tahun ini agak berbeza berbanding tahun lalu apabila Umno berjaya meraih kembali sokongan rakyat selepas menang empat PRK berturut-turut.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata meskipun Umno - yang menjadi tunggak BN - kini menjadi pembangkang, namun ia perlu terus bersuara bagi memajukan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

"Kali ini kita bukan kerajaan, tapi kita perlu terus bersuara beri pandangan untuk memajukan ekonomi orang Melayu.

"Suara daripada Umno perlu, kerana ia perlu didengar kerajaan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS