Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada lagi imej elitis - minum di 'coffee house', bercerut, beg jenama

PAU2019 | Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menggesa anggota Pemuda Umno tidak harus ada lagi sifat elitis yang memperagakan kemewahan diri.

Menurutnya, pemuda-pemuda Umno di semua peringkat mesti terus semarakkan agenda Islah dan pemerkasaan dalaman parti.

"Pemuda Umno dengan imej yang baru tidak harus ada lagi sifat elitis yang dilihat memperagakan kemewahan diri dan hanya minum di coffee house, ‘bercigar’ (bercerut) atau menggendeng beg berjenama semata-mata.

"Sebaliknya kita akan lebih dihormati apabila lebih merendah diri, tidak sombong dan berlapang dada tatkala ditegur dan dikritik," katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, Pemuda Umno perlu mengandakan gerak kerja dengan memfokuskan agenda utama mendekati generasi muda yang punya kerencaman pemikiran dan kepelbagaian perawakan seiring dengan pindaan umur pengundi muda bawah 18 tahun.

Beliau juga memperingatkan anggota partinya supaya jangan sesekali leka dengan kemenangan di beberapa PRK baru-baru ini.

"Jangan sesekali kita leka dan alpa dek seronok dan selesa dengan kemenangan di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai hingga kita kembali sombong dan angkuh bahkan mula bercakaran sesama sendiri.

“Menang dalam beberapa pertempuran tidak bermaksud kita sudah pun menang dalam peperangan,” katanya.

Terdahulu, lebih 1,000 perwakilan Pemuda Umno daripada seluruh negara hadiri ke perhimpunan tahunan ke-73 itu.

Selain wakil Pemuda MCA, MIC, PAS dan Makkal Sakthi, pemerhati daripada NGO dalam dan luar negara turut menghadirinya.

Kritik PH

Asyraf juga menggunakan perhimpunan untuk terus mengkritik kerajaan PH khususnya DAP sebagai rasis dan chauvinis.

"Siapa yang jelajah ke luar negara mendakwa rakyat Hindu di negara ini ditindas dan dizalimi? Siapa yang tuduh orang Melayu sebagai kaum pendatang? Siapa yang hina tulisan Jawi dan dikaitkan dengan pornografi?

“Siapa yang hina Angkatan Tentera dengan mendakwa mereka hanya tahu makan dan tidur sahaja?" tanya Asyraf sambil dibalas dengan laungan "DAP" oleh para perwakilan.

Beliau turut mengaitkan pemimpin PH dengan kenyataan-kenyataan kontroversi seperti penyatuan Ummah Umno-PAS akan wujudkan kerajaan Taliban.

"Mereka inilah sebenarnya petualang yang rasis bertanggungjawab mencetuskan sentimen kaum dan mengapi-apikan kebencian," katanya.

Asyraf juga menyalahkan kerajaan PH sebagai gagal berfungsi dalam isu membawa balik abu mayat Chin Peng serta kematian ahli bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan Kuil Seafield tahun lepas.

Institusikan Muafakat Nasional

Dalam pada itu, Asyraf turut menegaskan Muafakat Nasional merupakan jawapan terbaik boleh ditawarkan kembali kepada rakyat oleh Umno bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia.

"Bermula dengan gerakan penyatuan Ummah yang akhirnya berjaya menyatukan dua parti terbesar mewakili kelompok majoriti Melayu-Islam, Umno dan PAS sehingga termeterainya piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

"Kerjasama Umno dan PAS tidak pernah bercita-cita mendirikan kerajaan yang hanya didominasi orang Melayu dan Islam semata-mata.

“Muafakat Nasional juga tidak wajar mengenyampingkan kaum-kaum lain yang telah menjadi sebahagian daripada warga tanahair tercinta," katanya.

Antara wakil PAS yang hadir dalam Perhimpunan Agung Pemuda Umno

Menjelaskan lagi, Asyraf memberitahu bahawa Muafakat Nasional bukannya seperti Pakatan Harapan yang punya empat parti.

"Tidur sahaja sebantal namun hakikatnya mimpi berbeza-beza."

"Kita harus menunjukkan dan membuktikan kepada rakyat, bahawa Umno, PAS, MCA dan MIC bersatu sebagai satu, walaupun dan tanpa mengira kemerosotan dan perpecahan keharmonian kaum dibina oleh PH.

Justeru, katanya Pemuda Umno menggesa agar kepimpinan tertinggi parti dapat segera menginstitusikan Muafakat Nasional bukan sahaja melibatkan Umno-PAS tetapi juga rakan-rakan komponen BN (MCA dan MIC) dan sahabat BN.

"Sudah tiba masanya untuk kita bergerak dari era Perikatan selama 21 tahun (1952-1973), kepada era BN selama hampir 46 tahun (1973-sekarang), dan kini berhijrah kepada Muafakat Nasional," tegasnya.

Lihat Komen
ADS