Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jangan leka dengan kemenangan PRK, pesan Noraini
Diterbitkan:  Dec 5, 2019 2:37 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

PAU2019 | Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad mengingatkan perwakilan sayap itu agar tidak dibuai dengan kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, dalam membuat persedian berdepan PRU ke-15.

Dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Wanita Umno di PWTC hari ini, Noraini mengingatkan kemenangan besar BN di PRK Sungai Besar pada 2016, sebelum tersungkur dalam PRU ke-14 tahun lalu.

"Konsensus PRK dan PRU sangat berbeza. Mungkin kemenangan yang dikecapi bukan disebabkan kita kuat tetapi rakyat hanya mahu memberi peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kita harus berhati-hati, peka, dan sentiasa bersiap-sedia.

"Justeru, sewajarnya kita mengatur langkah awal, langkah yang hebat, dan langkah-langkah yang lebih mantap - supaya momentum sokongan tidak hilang menjelang PRU ke-15," katanya.

Beliau menggesa Wanita Umno membawa momentum kemenangan itu ke PRK Kimanis di Sabah yang bakal diadakan nanti.

Dalam PRK Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menang dengan majoriti 9,191 undi, jumlah yang jauh lebih besar berbanding kemenangan Allahyarham Noriah Kasnon pada PRU 2008 yang hanya mendapat majoriti 399 undi.

Bagaimanapun PH merampas kawasan Parlimen itu pada PRU lalu, menerusi calon Bersatu Muslimin Yahaya yang menewaskan Budiman dengan perbezaan 714 undi.

Selain itu, anggota parlimen Parit Sulong turut berkongsi pandangannya tentang prestasi PH setelah setahun enam bulan mengambil alih pentadbiran daripada BN.

Kata Noraini, kegagalan PH adalah tidak dapat memberikan satu kepemimpinan yang jelas untuk memimpin negara, sebaliknya hanya memberikan pelbagai alasan.

“Kerajaan memberi pelbagai alasan. Kononnya mereka baru lagi. Semua hendak disalahkan BN. Sedangkan sendiri yang tidak tahu mentadbir,” katanya.

Bandingkan PH dengan pentadbiran Jacinda Ardern

Noraini membandingkan pentadbiran PH dengan pentadbiran New Zealand yang diterajui Perdana Menteri Jacinda Ardern, yang menurutnya, berjaya mencapai banyak kejayaan hanya dalam masa dua tahun memerintah.

Katanya, dalam masa hanya dua tahun, Ardern berjaya mencipta 92,000 peluang pekerjaan, menurunkan kadar pengangguran ke tahap terendah negara itu sejak 11 tahun lalu, meningkatkan pendapatan isi rumah, meningkatkan dana sekolah.

Malah, Noraini turut membandingkan PH dengan ketegasan yang dipamerkan Ardern ketika menangani isu tembakan rambang di Christchurch Mac lalu.

Jacinda Ardern

Katanya, Ardern mempamerkan ketegasan dengan mengambil tindakan drastik mengharamkan penggunaan senjata semi-automatik dan senapang dan bersumpah untuk tidak akan menyebut nama lelaki bersenjata dalam serangan berkenaan.

“Tetapi lihat apa yang berlaku di negara kita. Kelemahan kepimpinan negara telah menyebabkan ada kalangan yang mengambil kesempatan, mengambil peluang dengan menimbulkan keadaan huru-hara dengan membawa masuk abu pengganas komunis.

“Begitu juga dengan Jalur Gemilang. Ada yang ditukar kepada warna putih hitam, ada yang diterbalikkan, dan terbaru Jalur Gemilang lima bucu!

“Kenapa jadi begini? Sampai bila kita mahu berkompromi terhadap penghinaan demi penghinaan ini? Kita perlukan titik noktah. Kita mahu kerajaan bertegas. Maaf sahaja tidak mencukupi,” katanya lagi.

Kes tembakan rambang di Christchurch mengorbankan 51 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia, dan diperkatakan bukan sahaja di New Zealand, tetapi juga di negara-negara lain.

Isu abu Chin Peng di Malaysia pula mengundang kontroversi apabila pada 26 November, abu mayat bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu dilaporkan dibawa pulang ke Malaysia dan ditabur di kawasan pergunungan dan lautan.

Ia dikatakan dibawa pulang pada 16 September lalu.

Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima pula menjadi isu apabila ia dipaparkan pada skrin TV stadium semasa majlis perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 minggu lepas.

Lihat Komen
ADS