Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Berhenti tabur janji, bercakar sesama sendiri'

PAU2019 | Seorang perwakilan Wanita Umno hari ini menggesa pemimpin parti itu menunjukkan imej yang baik terhadap para anggota, antaranya dengan tidak bertelingkah sesama sendiri.

Ketua Wanita Umno Kuala Kedah Noor Hasita Md Isa, berkata anggota sayap itu "resah dan tidak selesa" melihat sebahagian pemimpin parti yang menurutnya saling bercakaran.

"Wahai pemimpin atasan, tolonglah jaga parti ini sebaiknya, jangan bercakaran sesama kita, tunjuklah imej yang baik," katanya ketika berbahas di Perhimpunan Agung Wanita Umno di PWTC hari ini.

Hasita bagaimanapun tidak menamakan secara khusus pemimpin yang dimaksudkannya.

Dia berharap gesaan itu disampaikan oleh tiga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno - iaitu Nor Omar, Azeez Abd Rahim dan Shabery Cheek - yang berada di situ.

"Ini tiga pesanan Wanita untuk datuk-datuk sampaikan...Tolong sampaikan dalam mesyuarat (MT) malam ini," katanya lagi.

Sejak tewas dalam PRU ke-14, beberapa pihak membangkitkan isu perpaduan dalam Umno antaranya ketika presiden Ahmad Zahid hamidi berdepan sejumlah pendakwaan rasuah dan digesa letak jawatan, pada masa sama bekas presiden Najib Razak kembali aktif dengan imej 'bosku'.

Terbaru, bekas najib presiden Umno Hishammuddin Hussein didakwa terlibat dalam usaha menubuhkan kerajaan 'pintu belakang' dengan sejumlah pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Pada 1 Disember lalu, Zahid memberi amaran terhadap pemimpin BN yang berhasrat untuk berpaling tadah, dan menggelarkan mereka sebagai 'reptilia melompat'.

"Sewaktu kita diuji, kita mahu lihat siapa yang melompat. Jangan lupa saya memerhati...Tiba masanya jangan harap saya akan tandatangani watikah untuk mereka yang tidak setia kepada parti," katanya.

Sementara itu, Hasita juga menggesa para pemimpin agar tidak merasa selesa dengan kemenangan besar dalam PRK Tanjung Piai.

Dia juga membangkitkan perihal pemimpin yang menurutnya sering berjanji, antaranya berkenaan peruntukan.

"Janji banyak sangat. Telinga kita dengar nak bagi jawatan menteri, bagi peruntukan, dan kita takut (nanti) janji nak bagi (jadikan) calon pula.

"Di peringkat bahagian, kita nak buat kerja. Tolong hentikan perkara ini," katanya lagi.

Ketika ditemui kemudian, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata suara perwakilan akan diambil kira oleh kepimpinan parti itu.

"Saya rasa kata-katanya betul dan kita kena ambil perhatian.

"Apa yang perwakilan cakap, jika (perkara yang ) betul, eloklah. Mana yang tak betul, kita ambil sebagai nasihat," katanya.

Lihat Komen
ADS