Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wakil bukan Islam berucap pertama kali di perhimpunan Pemuda Umno

Perhimpunan Agung Pemuda Umno hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat kali pertama seorang perwakilan bukan beragama Islam diberi peluang untuk berucap dalam sesi perbahasan.

Busiau Ampirak, wakil Pemuda Umno Bahagian Pensiangan, Sabah menjadi anggota Umno bukan beragama Islam pertama berucap dalam Perhimpunan Agung Pemuda Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur hari ini.

"Bagi pihak pemuda Umno Sabah, kami ingin merakamkan jutaan terima kasih dan rasa kagum dengan kepimpinan Ketua Pemuda Umno (Asyraf Wajdi Dusuki) memberikan ruang besar kepada pemuda Umno Sabah menghantar jurucakap mewakili pejuang Umno bukan beragama Islam.

"Ini merupakan sejarah pertama dalam Umno," kata Busiau yang merupakan jurucakap terakhir pada sesi perbahasan dalam perhimpunan yang dihadiri lebih 1,000 hadirin terdiri daripada anggota parti dan pemerhati.

Terdahulu, Busiau yang berpakaian tradisional suku Murut berkata bahawa Umno Sabah mempunyai lebih 560,000.

"Seramai 158,000 ahli daripada Kadazan, Murut dan Dusun. Manakala, 97,000 daripadanya adalah bumiputera bukan Islam," katanya.

Beliau turut meminta pucuk pimpinan Umno menggunakan kepelbagaian ahli untuk menguatkan parti.

"Dalam Umno kita ada ramai pemimpin di kalangan ahli-ahli bumiputera bukan Islam.

"Parti perlu mendukung dan menonjolkan kumpulan ini sebagai ikon-ikon untuk menarik minat sahabat bumiputera bukan Islam menyertai Umno," tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi wakil Sabah, Fadli Juanas menegaskan bahawa Umno Sabah kembali pulih selepas penghijrahan beramai-ramai pemimpin Umno di Sabah selepas PRU ke-14.

"Sebenarnya, Umno BN telah pun menang dan membentuk kerajaan selepas PRU ke-14 lalu. Oleh kerana lompatan 'katak-katak' dan pengkhianat oleh rakan-rakan kita yang menang bertanding atas tiket BN, justeru Umno BN hilang kuasanya di Sabah.

"Umno Sabah sekali lagi dikejutkan apabila 22 orang ketua Umno bahagian di Sabah meninggalkan Umno menyertai Bersatu. Tapi, hari ini Umno sudah pulih sepenuhnya," katanya.

Fadli dari Kota Belud turut berkata bahawa senario politik di semenanjung dan di Sabah amat berbeza.

"Itu lah sebab kami Umno Sabah mengambil keputusan untuk memohon autonomi bagi kami meneruskan perjuangan parti mengikut acuan kami sendiri," katanya.

Untuk rekod, pucuk pimpinan Umno sebelum ini menerima cadangan Umno Sabah untuk diberikan autonomi bagi membolehkan Umno Sabah menentukan hala tuju politik sendiri.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sebelum ini mengesahkan bahawa Umno Sabah akan menentukan calon di PRK Kimanis, sebelum dibincang di peringkat pusat.

Lihat Komen
ADS