Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS anggap laporan berkaitan LGBT Suhakam tak relevan

PAS mendakwa terdapat bahagian yang tidak relevan dimasukkan dalam Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dibentangkan di Parlimen sebentar tadi.

Menurut Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahagian yang dimaksudkannya itu ialah bab kedua yang menjelaskan berkenaan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT).

“Memetik beberapa petikan dalam laporan (Suhakam) yang mengatakan pematuhan kepada pengkelasan dua jantina secara tradisi menyebabkan diskriminasi terhadap komuniti LGBT dan pelanggaran hak asasi mereka, bilakah Malaysia mula mengiktiraf LGBT sebagai sebahagian daripada nilai masyarakat di Malaysia?

"Apakah agama yang menerima LGBT sebagai sebahagian daripada ajaran mereka?

"Adakah Malaysia membina tandas khas untuk golongan LGBT?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Suhakam yang ditubuhkan pada 1999 mengemukakan laporan setiap tahun kepada parlimen tetapi dokumen itu tidak pernah dibahaskan secara rasmi.

Bagaimanapun hal itu berakhir hari ini apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, membentangkan laporan tersebut buat pertama kali untuk dibahas wakil rakyat.

Islam agama persekutuan

Kebiasaannya laporan Suhakam berisi dapatan yang membawa banyak kritikan badan tersebut kepada kerajaan berdasarkan siasatan yang dijalankan mereka.

Sementara itu, Tuan Ibrahim juga menempelak Suhakam kerana mendakwa kewujudkan sistem dwiperundangan - merujuk kepada undang-undang jenayah persekutuan dan undang-undang syariah - merumitkan.

Keadaan itu juga, kata Suhakam, menyebabkan berlaku mendiskriminasikan ke atas komuniti LGBT.

“PAS ingin menegaskan bahawa undang-undang syariah telah menjadi teras utama sistem perundangan di Malaysia.

“Malah, dalam Perlembagaan Persekutuan telah jelas meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Adakah Suhakam mahu undang-undang syariah dimansuhkan demi menjaga hak LGBT?” katanya.

Untuk rekod, mengikut laporan Suhakam tersebut menjelaskan bahawa setiap orang termasuk LGBT harus diperlakukan sama rata mengikut undang-undang.

Laporan itu menyatakan prinsip tersebut bukan saja terhad kepada akses terhadap keadilan tetapi juga rawatan yang diterima dalam proses keadilan jenayah.

Selain itu, PAS juga mengingatkan Suhakam supaya memahami konsep dan prinsip hak asasi manusia mengikut realiti sejarah, agama dan budaya Malaysia, bukan tertakluk kepada kehendak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Lihat Komen
ADS