Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Patung di Gereja St Anne's Bukit Mertajam disembur cat hitam
Diterbitkan:  Dec 6, 2019 9:22 AM
Dikemaskini: 1:22 AM

Beberapa patung suci bagi penganut Kristian di Gereja St Anne's, Bukit Mertajam di Pulau Pinang dicemarkan dengan semburan cat hitam pada tengah hari semalam.

Menurut polis, dalam insiden yang berlaku kira-kira pada pukul 4.45 petang itu, seorang lelaki masuk ke kawasan gereja dan menyemburkan tanda "X" pada sejumlah patung.

Beberapa kawasan di lantai gereja turut disembur dengan cat sama.

Seorang pengawal keselamatan menghentikan lelaki itu daripada terus berbuat demikian, tetapi lelaki itu kemudian meminta pen dan kertas daripadanya, kata polis.

"Dia kemudian menulis satu petikan daripada Bible dan terus beredar dengan menaiki motosikal.

"Pengawal itu gagal mencatatkan model atau nombor pendaftaran motosikal, tetapi menyifatkan suspek sedang marah-marah," kata polis dalam kenyataan yang dikongsikan dalam kumpulan Whatsapp.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata gereja ada memasang CCTV di kawasan itu, dan polis akan melihat rakamannya untuk maklumat lanjut.

"Kerugian kira-kira RM200," kata Nik Ros Azhan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara tak lebih lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata, beliau telah bercakap dengan Nik Ros Azhan dan paderi gereja, Henry Rajoo berkenaan perkara itu.

"Tumpuan kita patut terhadap kasih sayang, harapan dan kepercayaan," katanya di Facebook, menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi berkenaan kejadian itu.

Diasaskan pada 1846, Gereja St Anne's menjadi lokasi kunjungan ribuan penziarah dari seluruh dunia yang biasanya ke sana pada Julai setiap tahun.

Ia dibina oleh mubaligh Perancis sebagai penghormatan kepada Saint Anne, yang merupakan ibu kepada Mariam, iaitu ibu kepada Nabi Isa.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS