Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiba masa ahli parti nilai prestasi menteri Amanah

ULASAN | Parti Amanah Negara (Amanah) masih mentah dan belum stabil ketika diserahkan kepercayaan mentadbir dan mengurus beberapa buah kementerian.

Usianya baru sahaja beberapa tahun. Banyak urusan di pejabat utama masih terbengkalai. Ahli sendiri tidak semuanya faham asas dan hala tuju perjuangannya.

Bekas ahli PAS melihat Amanah sebagai PAS yang asal dan menuju hala tuju itu. Ahli NGO seperti Ikram melihat Amanah adalah 'baby' politik mereka yang mahu dihalakan mengikut hala tuju NGO masing-masing.

Bekas ahli Umno dan parti-parti yang lain pula, mengharapkan Amanah berbeza daripada parti lama mereka yang tidak sesuai dengan jiwa. Pendek kata, matlamat dan hala tujunya sudah cukup mengkategorikan ahli-ahlinya.

Dengan realiti begitu, bagaimana Presiden Amanah mengemudi partinya sebagai satu juzuk penting kerajaan Pakatan Harapan? Berjayakah? Gagal tanpa bahas kah?

Ya, sejak Mohamad Sabu menjadi menteri kanan kerajaan, sudah tidak kelihatan sifat kekiriannya yang sentiasa tersentak dan bangkit dengan legasi kerajaan yang menyusahkan rakyat.

Sifat keakuan

Apa yang jelas kelihatan, sudah semakin subur sifat keakuan dalam diri. Bukan pada beliau sahaja. Pada diri semua menteri-menteri Amanah. Keakuan kerana terikat dengan sempadan kementerian masing-masing.

Jika isu komunis menyusahkan minda rakyat, seakan jawapannya begini, "ahh itu urusan Kementerian Dalam Negeri. Aku mahu memastikan tentera-tenteraku cukup makan sahaja!"

Jika begitu, apa erti menjadi seorang presiden sebuah parti yang diharapkan menjadi tempat bergantung umat Islam dan Melayu khusus berkaitan agenda memartabatkan darjat insani islami dalam negara?

Sudah tiada lagi idealisme yang berbaki? Siapa yang bersalah? Siapa salah?

Inilah antara cabaran yang sedang dihadapi kepimpinan Amanah hari ini. Parti masih mentah. Ahli belum menunjukkan kesatuan pandangan dan harapan.

Idea dan masa dibatasi kewajipan masing-masing. Akhirnya perjuangan sekadar di atas kertas. Sekadar di laman 'facebook'. Sekadar di pentas dalam ucapan perasmian dan pengisytiharan.

Mereka harus bertindak pantas. Apa sahaja cabaran mesti diatasi dengan segera. Tidak perlulah mencipta alasan kerajaan lama, kerajaan terpendam, kerajaan berhutang dan kerajaan sedang menilai.

Apa yang diwajibkan oleh sebuah manifesto, berjihadlah untuk memenuhinya. Jadikan ia agenda utama dalam kerajaan PH, dalam mesyuarat pimpinan PH, dalam perbincangan eksekutif parti dan dalam gerakan harian sebagai pemimpin ahli politik. Agenda kepentingan rakyat mesti diaulakan pada setiap gerak kerajaan.

Ini tidak, jika kerajaan disabotaj, masih sempat untuk senyum sumbing. Jika kakitangan kerajaan degil melaksanakan arahan, masih disimpan bak anak anjing dibelai di belakang rumah.

Cuba turun ke bawah dan dengar rintihan rakyat. Sebagai contoh, RM50 juta peruntukan untuk sekolah tahfiz seluruh negara, apa jadi sekarang?

Menteri tahukah bahawa pentadbir dan pengurus sekolah-sekolah ni sedang berkempen 'Mujahid kencing Tahfiz'? Sedang menteri masih syok sendiri dengan agendanya yang kawan-kawan menterinya pun tak faham.

Kembali ke asas utama perjuangan

Jika tidak percaya, silalah wartawan bertanya kepada mana-mana menteri Amanah tentang perancangan Mujahid berkaitan Maqasid Syariah dan Fiqh Malaysia. Itu satu contoh sahaja.

Para pemimpin Amanah mesti kembali kepada salah satu asas utama perjuangan politik Amanah iaitu politik memperjuangkan rakyat. Umno ditolak kerana membelenggu rakyat.

PAS ditolak kerana cuba membenarkan tindak-tanduk Umno. Jika Amanah masih buta dan terkial-kial dalam menghayati kesusahan rakyat pada hari ini, apa perlu bersusah payah menubuhkan parti baru? Apakah demi rakyat atau demi survival politik pemimpin?

Buat perwakilan, kalau takut mengkritik kerana mahu kekal jawatan 'budak suruhan' di pejabat menteri atau sedang melobi jawatan tertentu di mana-mana agensi, silalah mengisi borang Puteri Umno.

Ehh jangan main-main, Puteri Umno pun sudah berani mengejek babi terbang atas pentas ucapan.

Korang masih senyum kerang? Saya hadir sebagai pemerhati konvensyen untuk menyaksikan bagaimana ahli dan pemimpin membangunkan parti ini.


IBNU MOHAMED merupakan ahli Amanah Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Lihat Komen
ADS