Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek cemar gereja pesakit mental, kata keluarga

Suspek berusia 34 tahun yang didakwa mencemarkan patung-patung suci di Gereja St Anne Bukit Mertajam adalah seorang pesakit mental dan memerlukan rawatan hospital, kata ahli majlis Bandar Seberang Perai, David Marshel.

Marshel menjelaskan keluarga suspek telah berjumpanya setelah membaca kenyataan di Facebook yang dibuat berkenaan kejadian semalam.

Tambahnya, isteri suspek yang merupakan seorang pengurus berusia 30 tahun itu juga sudah membuat laporan polis berkenaan tingkah laku suaminya di Petaling Jaya jam 9.20 semalam, yang menyatakan bahawa suspek memerlukan rawatan psikiatri dengan segera.

“Keluarganya sudah menemui suspek di Tanjung Malim, Perak dan membawanya ke rumah mereka di Sungai Buloh, Selangor,” tambah Marshel, yang turut merupakan Presiden NGO Tamilar Kural.

“Bagaimanapun, suspek bertukar agresif dan memukul isterinya tetapi polis berjaya mengangkut (suspek) dan menghantar ke hospital Sungai Buloh.

"Dia kemudiannya dilepaskan selepas mengambil beberapa ubat dan pergi ke rumah ibunya," tambah Marshel.

Marshel sudah menasihati pihak keluarga supaya menghantar suspek menjalani rawatan psikiatri untuk mengelakkan kejadian sama berlaku lagi.

Beliau juga menggesa semua pihak supaya bertenang kerana insiden semalam bukan melibatkan sebarang perlanggaran agama, cuma tindakan yang tidak diingini oleh orang yang tidak stabil secara mental.

“Saya akan derma sebanyak RM200 untuk membaiki kerosakan terhadap patung suci tersebut dan berharap situasi akan kembali normal.

“Kita harap gereja akan memaafkannya dan kita berdoa,” tambah Marshel.

Suspek belum ditahan polis

Marshel juga sudah menghubungi Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkenaan perkara tersebut.

Ketika dihubungi, Nik Ros Azhan menjelaskan bahawa suspek belum ditangkap.

“Kita akan sahkan bila sudah menangkap suspek,” katanya kepada Malaysiakini.

Rabu lalu, sekitar jam 4.45 petang, seorang lelaki masuk ke kawasan gereja dan menyemburkan tanda "X" pada sejumlah patung.

Seorang pengawal keselamatan menghentikan lelaki itu daripada terus berbuat demikian, namun lelaki itu kemudian meminta pen dan kertas daripadanya dan menulis satu petikan daripada Bible.

Dia kemudian dengan cepat beredar menaiki sebuah motosikal dan pengawal keselamatan itu gagal mencatat nombor plat dan model motosikal yang dinaiki lelaki itu.

Pegawal keselamatan itu juga menyifatkan suspek ketika itu dalam keadaan marah.

Nik Ros Azhan juga menjelaskan kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara tak lebih lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Setiap tahun pada bulan Julai, ribuan orang akan ziarah Gereja St Anne, yang diasaskan pada tahun 1846 oleh mubaligh Perancis untuk menghormati Saint Anne, yang merupakan ibu kepada Mariam, iaitu ibu kepada Nabi Isa.

Pada September 5 lepas, Bishop Sebastian Francis mengumumkan bahawa gereja itu telah dianugerahkan dengan gelaran gereja basilica kecil oleh paus (ketua paderi yang tertinggi dalam sistem kepaderian gereja Roman Katholik).

Lihat Komen
ADS