Paling Popular
Terkini

Kehadiran yang tidak memberansangkan dalam mesyuarat parti adalah isu utama yang dibahaskan pada kongres Pemuda PKR (AMK) petang ini.

Semasa sesi perbahasan, perwakilan Perak Mohamad Rukhairil Aizat Mohamad Maharani merujuk kepada rekod kehadiran jawatankuasa pusat AMK.

Rekod itu ditunjukkan dalam buku laporan 2019 yang dikeluarkan kepada semua perwakilan kongres dan kakitangan media.

Antara mereka yang gagal menghadiri walaupun satu mesyuarat adalah anggota exco AMK, Athina Klaywa Sim, K Nagarajan, Mohd Akmal Hisyam Ajmad Tamyiz dan Mohd Izad Budhary Mohd Kamri.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham juga merupakan salah seorang yang mencatatkan kehadiran yang teruk.

Dia ditanda hadir satu mesyuarat dan tidak memberikan sebarang sebab ketidakhadirannya dalam tujuh mesyuarat lain.

"Saya nak tegur pimpinan AMK baik MPP ke naib wanita ke, baik MPP pusat ke.

"Kehadiran rekod mesyuarat sangat tak memberangsangkan. Inikah contoh pemimpin kita?

"Kalau mesyuarat tak hadir, tak bagi sebab yang munasabah, letak jawatan!" katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Dalam ucapan penggulungan beliau, Ketua AMK Akmal Nasrullah Nasir berkata beliau mengambil maklum perkara itu dan menegaskan disiplin parti adalah penting sebagai pemimpin.

"Bila saya sebut kena ada disiplin kita buat mesyuarat tiap-tiap bulan.

"Yang ini saya serahkan kepada barisan kepimpinan AMK untuk ambil tanggungjawab apa yang disebut oleh beliau, macam mana kita nak buat dengan AMK-AMKN yang langsung tidak pernah datang mesyuarat dalam tempoh satu  tahun yang lepas," katanya.

Akmal berkata, anggota jawatankuasa pusat AMK telah diberikan jadual mesyuarat untuk sepanjang tahun ini pada awal 2019.

Perkara itu turut disuarakan oleh Naib Ketua AMK, Syed Badli Syed Osman.

"Ini mesyuarat tak hadir, pandai gaduh di Malaysiakini, pergi gaduh kat media. Apa tujuan kamu semua?

"Kalau kamu sayang parti ini, perkukuhkan parti ini, ayuh kita hadir mesyuarat demi memantapkan rakyat," ujarnya.

Menurut rekod, Akmal mencatatkan kehadiran penuh manakala Syed Badli menghadiri enam daripada lapan mesyuarat.

Lihat Komen
ADS